suria

Lebih 3,000 Mangsa Di 45 Pusat Pemindahan Di Johor

Anggota Bomba dan Penyelamat Johor menjalankan kerja menyelamat mangsa banjir di Taman Aman dan Taman Mawai, Kota Tinggi. fotoBERNAMA

JOHOR BARU: Seramai 3,226 mangsa melibatkan 865 keluarga masih berada di 45 buah pusat pemindahan sementara di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub  Rahmat berkata daerah yang terjejas adalah Segamat, Kota Tinggi, Tangkak, Johor Bahru, Kluang, Batu Pahat dan Mersing.

Beliau berkata sehingga 6.30 petang tadi, 29 pusat pemindahan dibuka di Segamat dengan 1,840 mangsa; Kota Tinggi (1,006 mangsa di lima pusat pemindahan); Tangkak (105 orang di tiga pusat pemindahan) dan Johor Bahru (95 orang di tiga pusat pemindahan).

Tiga pusat pemindahan di daerah Kluang menempatkan 67 mangsa serta sebuah pusat pemindahan di Mersing menempatkan 113 orang, manakala sebuah pusat pemindahan telah ditutup di daerah Batu Pahat.

Ayub berkata tiga klinik desa di Segamat terpaksa ditutup iaitu Klinik Desa Kampung Jawa, Klinik Desa Kampung Jabi dan Klinik Desa Kampung Tengah kerana dinaiki air.

Beliau berkata, perkhidmatan ketiga-tiga klinik desa tersebut telah dipindahkan ke klinik kesihatan berhampiran.

Dalam pada itu, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan ke kawasan Parlimen Muar berkata kerajaan negeri serta agensi terlibat akan memastikan bantuan disampaikan dengan lancar kepada mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan.

"Mengikut ramalan dikeluarkan agensi berkaitan, mangsa banjir tidak perlu berada lama di pusat pemindahan kerana hujan dijangka berhenti dan air akan mula surut dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri Johor, Shaharudin Sharif berkata 13 buah sekolah di Segamat dan sebuah sekolah di Mersing terpaksa ditutup pada Selasa disebabkan terputus hubungan serta dinaiki air.

Sekolah yang terlibat di Segamat antaranya ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tengah; SK Segamat Kechil; SK Melayu Raya; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Centrel Site; SJKC Ladang Voules; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Gomali, SJKT Ladang Segamat dan SJKT Sungai Muar serta SK Peta, Mersing. - BERNAMA


pusat pemindahan, banjir, Johor

Artikel Lain