suria

Pengendali Dego Ride Mohon Dapat Terus Beroperasi

Nabil Feisal Bamadhaj.

KUALA LUMPUR: Susulan arahan Kementerian Pengangkutan supaya tindakan diambil terhadap pengusaha teksi motosikal, pengendali Dego Ride, MyInteractive Lab Sdn Bhd tampil memberi jaminan akan mengemukakan permohonan rasmi bagi membenarkan perkhidmatan itu beroperasi secara sah.

Mengakui beroperasi tanpa lesen, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nabil Feisal Bamadhaj berkata, ketika ini, tiada lesen atau aspek perundangan khusus diperuntukkan kerajaan bagi perkhidmatan teksi motosikal.

Bagaimanapun beliau mendakwa telah mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada Disember lalu berkaitan aspek pelesenan teksi motosikal dan ia masih dalam peringkat perbincangan.

“Kita akan memohon apabila adanya lesen untuk operasi teksi motosikal. Tetapi memandangkan isu teksi motosikal haram ini telah dibangkitkan maka kita akan mengemukakan permohonan secepat mungkin, selewat-lewatnya esok bagi mendapatkan pertimbangan kerajaan untuk membenarkan kita beroperasi,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai pengumuman Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi pada Selasa bahawa setakat ini, tiada lesen yang dikeluarkan kepada perkhidmatan mengambil penumpang menggunakan motosikal.

Nabil berkata, pihaknya meminta kerajaan meneliti semula peraturan atas dasar memberi peluang sumber pendapatan kepada golongan berpendapatan rendah dengan berkhidmat sebagai penunggang teksi motosikal.

Beliau menambah, kerajaan juga perlu melihat relevannya perkhidmatan teksi motosikal yang lebih pantas dan menjimatkan masa terutama dalam kesesakan lalu lintas di ibu negara.

“Ia perlu dikaji semula kerana kehadiran teksi motosikal tidak akan berlaku sekiranya tiada permintaan di kalangan pengguna,” ujar Nabil.

Ab Aziz dalam sidang media pada Selasa mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan terhadap teksi motosikal yang beroperasi di sekitar ibu negara.

Menurut Ab Aziz, penggunaan motosikal untuk mengambil penumpang tidak dibenarkan setakat ini kerana tiada ciri keselamatan.

Nabil menjelaskan bahawa aspek keselamatan merupakan keutamaan syarikat dengan memastikan semua penunggang mempunyai pengalaman dan pengetahuan untuk membawa penumpang.

“Motosikal yang digunakan mereka boleh membawa penumpang dengan selamat, dan kita melakukan pemeriksaan cukai jalan dan insurans.

“Penggunaan topi keledar yang memenuhi piawaian yang ditetapkan juga diperiksa demi keselamatan penumpang (pembonceng),” katanya.

Perkhidmatan Dego Ride yang bermula November lalu boleh ditempah menerusi aplikasi WhatsApp, dengan kadar tambang dari RM2.50 untuk tiga kilometer (km) pertama, dan caj 60 sen dikenakan bagi setiap km seterusnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain