suria

Saya Tahu Siapa Kamu, Kata Ku Nan Kepada Orang Tengah

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur
KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansur berikrar untuk menghentikan kegiatan orang tengah yang mengaut untung beribu-ribu ringgit dengan mengelirukan peniaga yang mahu mendapatkan lesen perniagaan.

Tengku Adnan berkata, beliau tahu ada pihak tertentu yang mengelirukan peniaga dengan mendakwa mereka boleh membantu mendapatkan lesen perniagaan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Saya tahu siapa kamu, saya tahu apa yang kamu lakukan. Kamu 'gangster', tapi saya 'gangster' lebih besar,'' kata Tengku Adnan semasa pelancaran OUG The Market Place di Overseas Union Garden, Sabtu.

"Apabila Dewan Bandaraya mengeluarkan satu lesen, saya tahu beberapa pihak membuat banyak salinan. Satu lesen difotokopi sehingga 15 kali,'' katanya.

"Saya tahu kewujudan mereka (orang tengah) dan mereka mengumpul wang daripada semua peniaga, tetapi saya tidak faham mengapa peniaga-peniaga itu tidak datang terus kepada kami.

"Sebaliknya anda lebih suka membayar kepada orang-orang yang menyusahkan anda, orang tengah yang mendapat untung wang daripada anda,'' katanya.

Tengku Adnan meminta para peniaga untuk terus mendekati DBKL dan berjanji akan membantu mereka mendapatkan lesen melalui saluran yang betul.

"Jadilah warganegara yang bertanggungjawab, berfikiran terbuka, jadilah warga yang berfikir. Saya tahu ada pub (pengusaha) di sini yang tidak boleh mendapat lesen DBKL.

"Tetapi ada orang tengah yang kata mereka boleh mendapatkannya dengan sejumlah bayaran dan kadarnya setinggi RM80,000,'' katanya.
orang tengah, lesen DBKL, Ku Nan

Artikel Lain