suria

Bekas Pelajar MTD Kembali Untuk Beri Penghormatan Kepada Guru

Dari kiri: Abdul Halim, Syed Faris dan Aidil Nur Syahid Ab Rahman kembali semula ke tempat mereka pernah menimba ilmu suatu masa dulu.
KUALA LUMPUR: Selepas hampir empat tahun, bekas pelajar Maktab Tentera DiRaja (MTD), Abdul Halim Abdul Rahim kembali ke tempat beliau menimba ilmu itu, untuk memberi penghormatan kepada guru-gurunya.

Merupakan anggota kadet tunggal dari Malaysia yang sedang belajar di akademi tentera Amerika berprestij di Westpoint, Abdul Halim berkata beliau berhasrat untuk membuatkan guru-guru dan negaranya berbangga.

Abdul Halim yang kini belajar jurusan kejuruteraan mekanikal berkata, akademi itu telah membuat lebih dari 1,000 pengambilan pada tahun lepas, termasuk 15 pelajar asing, dan beliau adalah salah seorang daripada mereka.

"Saya membawa bersama kualiti dan prinsip-prinsip yang telah diterapkan oleh guru-guru ke dalam diri saya semasa di MTD.

"Saya berharap dapat menyertai tentera selepas menamatkan pengajian," katanya dalam satu temubual, Khamis.

Pelajar berusia 20 tahun dan bercita-cita menjadi pegawai tentera ini berkata, beliau sudah lama mahu bertemu dengan guru-gurunya bagi menyampaikan penghargaan kepada mereka di atas segala didikan dan tunjuk ajar yang diberikan selama ini.

"Disiplin adalah prinsip paling utama untuk bekas pelajar MTD," katanya.

Abdul Halim bersama dua rakan alumninya, Syed Faris Al Sayyof Syed Feisal dan Aidil Nur Syahid Ab Rahman, telah bertemu dengan guru mereka, Mohd Hafizul Ong Abdullah dan Rohana Puji Almi.

Syed Faris, yang merupakan graduan dari Akademi Pasukan Pertahanan Australia (Adfa), sebuah akademi yang terkenal di Australia berkata pengalamannya di MTD banyak membantu beliau untuk cemerlang di Adfa dan juga dalam latihan ketenteraan khusus di Maktab Tentera Diraja Australia di Duntroon.

"Dari segi cabaran di Adfa, latihannya tidak begitu memenatkan disebabkan pengalaman dan latihan yang luas di MTD," katanya.

Guru Bahasa Inggeris, Mohd Hafizul Ong, yang telah berkhidmat dengan MTD selama 25 tahun berkata, beliau berharap tiga anak didiknya itu akan berjaya dalam peringkat tertinggi pengajian.

Komandan MTD, Kolonel Noorrul Azril Ariffin berkata berlaku salah faham umum bahawa kebanyakan bekas pelajar MTD akan menyertai tentera.

"Hakikatnya, hanya 30 peratus sahaja daripada graduan kita yang meneruskan kerjaya dalam tentera manakala yang lain menceburi sektor awam," katanya.

bekas pelajar MTD, guru MTD

Artikel Lain