suria

25 Rumah Setinggan Di Jalan Klang Lama Musnah Terbakar

KUALA LUMPUR: Sebanyak 25 rumah setinggan berhampiran Scott Garden di Jalan Klang lama di sini musnah dalam kebakaran malam Selasa.

Ketua Pusat Pergerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani berkata kebakaran yang bermula pada 7.30 malam itu berlaku dengan pantas akibat keadaan rumah yang rapat dan angin kuat.

"Bagaimanapun kebakaran dapat dikawal daripada merebak ke lebih 30 rumah lain yang berhampiran dan api berjaya dipadam sepenuhnya pada 10 malam," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Samsol Maarif berkata 80 anggota bersama 14 jentera dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima laporan pada 7.40 malam.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang dipercayai berpunca akibat litar pintas itu, manakala jumlah kerugian masih disiasat.

Sementara itu, seorang daripada mangsa dikenali sebagai Noraini, 35, berkata ketika kejadian beliau sedang menidurkan anak lelakinya yang berusia setahun.

"Jiran menjerit memberitahu ada kebakaran. Saya terus berlari dan membawa anak keluar untuk menyelamatkan diri," katanya. - BERNAMA 

rumah setinggan, kebakaran

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Kamaruddin Kachar Meninggal Dunia

Artikel Lain