suria

Kontraktor Didakwa Rekrut Rakan Sertai Militan Daesh

GAMBAR FAIL

KUALA LUMPUR: Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu atas pertuduhan merekrut dua rakannya sebagai anggota kumpulan pengganas Daesh.

Saidin Yaacob, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Nordin Hassan yang kemudian menetapkan 9 dan 10 Jan untuk perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor manakala Saidin diwakili peguam Adi Zulkarnain Zulkafli.

Tertuduh didakwa dalam pengetahuan telah merekrut rakan sekampungnya, Ishak Haya, 61, dan Abd Halid Dari, 54, sebagai anggota kumpulan Daesh di Lot 3487, Rancangan Pinggir Padang Besar, Jeneri, Sik, Kedah, antara Januari hingga September 2014.

Lelaki itu didakwa di bawah Seksyen 130E Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pada 16 Ogos lalu, tertuduh dihadapkan di Mahkamah Majistret Baling, Kedah.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu adalah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kes melibatkan pengganas yang tertakluk di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - BERNAMA

Daesh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain