suria

'Beli' Atau 'Beri' Di Bundle Nur Kasih Charity Shop

ORANG ramai kini boleh menyalurkan sumbangan kepada anak-anak yatim atau kanak-kanak kurang bernasib baik dengan cara 'membeli' atau 'memberi' di kedai bundle Nur Kasih Charity Shop.

Terletak di Jalan Kapar Klang, kedai bundle '100 peratus amal' ini dibuka apabila pemiliknya, Mariyam Shafie yang turut menguruskan Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Nur Kasih menerima banyak sumbangan pakaian daripada orang ramai.

"Kami sangat menghargai sumbangan pakaian daripada orang ramai untuk kanak-kanak di rumah kebajikan ini.

"Tetapi, disebabkan banyak juga pakaian orang dewasa didermakan di sini, saya mendapat idea untuk 'menukar'nya kepada wang tunai dengan cara membuka kedai bundle ini," kata Mariyam ketika ditemui mStar Online baru-baru ini.

Menurut Mariyam, wang yang diterima hasil daripada jualan semula pakaian terpakai tersebut akan disalurkan terus ke tabung rumah kebajikan yang diuruskannya.

"Alhamdulillah, wang itu amat membantu kami dari segi kos operasi dan pengurusan," katanya yang turut menjalankan beberapa projek lain untuk tujuan mendapatkan dana bagi menampung keperluan kewangan kanak-kanak di rumah tersebut.

Mariyam berkata, dengan adanya kedai ini, beliau tidak perlu bimbang lagi tentang 'lambakan' pakaian yang disumbangkan orang ramai, satu masalah yang dialaminya sebelum ini.

"Dulu saya selalu 'pening' apa saya nak buat dengan pakaian ini dan di mana saya mahu menyimpannya kerana ruang di rumah kebajikan amat terhad.

"Sekarang masalah itu tiada lagi kerana kami mempunyai bilik khas untuk menyimpannya sebelum ia sedia untuk dipamerkan kepada pembeli," katanya.

Mariyam berkata, harga pakaian yang dijual juga amat berpatutan disebabkan pakaian tersebut diperoleh daripada sumbangan orang ramai dan beliau tidak perlu mengeluarkan modal.

Malah katanya, terdapat juga syarikat-syarikat pakaian yang datang dan memberi sumbangan stok pakaian mereka yang belum dijual kerana mahu menggantikannya dengan stok pakaian baharu.

"Kalau pelanggan yang 'rajin' mencari dan membelek, mereka akan jumpa pakaian berjenama mahal kerana ada juga pakaian yang kami dapat dari kawasan perumahan elit dan mewah," katanya.

Mariyam berkata, mereka yang ingin menyumbang pakaian boleh datang sendiri ke kedai bundle ini yang dibuka setiap hari.

Selain itu, pihaknya juga tidak keberatan untuk mengambil pakaian terpakai yang ini disumbangkan dalam kuantiti yang banyak.

"Kita banyak terima panggilan minta kita ambil pakaian yang dikumpul di satu tempat.

"Contohnya di sebuah kawasan perumahan, penduduk di sana akan mengumpulkan pakaian yang ingin disumbangkan kepada kita di satu tempat yang ditetapkan dan kita akan datang ambil mengikut hari dan masa yang dipersetujui," katanya.

Sumbangan wang tunai boleh disalurkan di: Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Nur Kasih (MBB 5121 1003 6832) dan FB: Pertubuhan Nur Kasih

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain