suria

Bapa Maut, Anak Cedera Lori Terjun Gaung

IPOH: Seorang kanak-kanak berusia dua tahun kehilangan bapanya apabila lori yang mereka naiki terjunam ke dalam gaung berhampiran sebuah ladang di Ulu Tekom, Brinchang.

Tragedi yang berlaku pada Ahad itu menyebabkan Woo Hon Meng, 36, maut, akibat lori yang dipandunya dipercayai hilang kawalan kerana mengalami kerosakan brek.


Pemandu yang lalu-lalang menghubungi polis pada kira-kira pukul 5 petang.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis, manakala mangsa kanak-kanak dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, kata Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Supritendan Hasadid A. Hamid.

Kanak-kanak itu mengalami kecederaan di mata kanan dan bibir. Tangan kanannya juga patah.

Kanak-kanak itu kemudian dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk rawatan lanjut.

Siasatan awal menunjukkan lori yang dipandu Woo hilang kawalan ketika menghampiri gaung dan melanggar bahagian tepi tebing di sebelah kanan.

Lori itu kemudian terbabas ke dalam gaung dengan kedalaman kira-kira 15 hingga 18 meter di selekoh sebelah kiri.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga mengakibatkan kematian.
terjun gaung, kemalangan lori

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain