SFC dalam satu kenyataan berkata pasukan itu dihantar ke Kampung Bakong, Oya, awal minggu lepas untuk memburu reptilia berkenaan berikutan satu kejadian serangan buaya yang mengorbankan Sili Ismail @ Esmail, 60, pada 11 November lalu.
Pencarian itu meliputi sekitar kawasan lima kilometer dari lokasi serangan, yang mana 13 mata kail ditempatkan di lokasi-lokasi di sepanjang sungai itu.
"Buaya jantan seberat kira-kira 200 kilogram itu dijerat hanya 100 meter dari lokasi mangsa diserang. Dengan kejayaan tangkapan buaya itu, operasi di Sungai Oya ditamatkan semalam," kata kenyataan itu.
SFC turut berterima kasih kepada semua pihak khususnya polis dan penduduk kampung atas bantuan mereka dan mengingatkan orang ramai supaya berwaspada pada setiap masa apabila berada di sungai.


