suria

Warga Emas Dikompaun Dapat Simpati Orang Ramai

GEORGE TOWN: Seorang warga emas yang bertongkat mendapat simpati orang ramai apabila beliau 'menyerbu' bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini dan memarahi kerajaan gara-gara didenda kerana kesalahan meletak kereta di garisan kuning.

Pada 17 November lalu, beliau telah pergi ke Lebuh Acheen untuk menempah batu nisan bagi pusara ibu mertuanya yang baru meninggal dunia.

Dengan tempat letak kereta yang terhad di tengah bandar, beliau terkejut apabila menerima saman atas kesalahan meletak kereta di kawasan larangan.

Justeru, lelaki berusia 70-an ini telah berdiri di luar pagar bangunan DUN Pulau Pinang dan menyatakan rasa tidak puas hatinya dalam bahasa Inggeris dan Mandarin.

"Saya hanya mahu menguruskan batu nisan emak mertua saya! Jalan raya itu tidak sibuk! Kenapa anda tak boleh biarkan saya meletakkan kereta saya sekejap?," katanya.

Pengikut Facebook The Star Online menunjukkan rasa simpati mereka dan pada masa sama menyatakan bahawa undang-undang meletak kereta perlu dihormati.

"Sila tengok apa yang dikatakannya. Ia merupakan hari yang menyedihkan dan beliau diselubungi pelbagai emosi. Beliau mengakui kesalahannya dan membayar denda itu," tulis pengguna Facebook Mohd Azhar Mohd Ali.

Walaupun ramai yang bersimpati, sebilangan besar netizen terus terang menyatakan bahawa mereka berpendapat warga emas itu tidak sepatutnya melemparkan kemarahannya dengan cara sebegitu.

Wen Yi Ko adalah antara mereka yang bengang dengan komen-komen yang mengecam tindakan warga emas itu.

"Melanggar peraturan itu salah tetapi 'keyboard warriors' menggunakan kata-kata kesat terhadap warga emas tidak sepatutnya berlaku."

Disebabkan kawasan terhad di negeri ini dengan penduduknya yang padat, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengeluarkan kira-kira 40,000 kompaun letak kereta untuk pelbagai kesalahan dalam sebulan, antara yang paling tinggi di negara ini.

Beberapa orang telah menamakan beberapa jalan yang sibuk di bandar itu di mana mereka mendakwa pemilik kenderaan masih 'terlepas' daripada kesalahan yang dilakukan.

Dalam kejadian itu, exco kerajaan negeri Phee Boon Poh telah keluar dari bangunan itu untuk menemui warga emas itu.

"Saya tidak memerlukan simpati anda. Saya telah membayar denda itu. Saya akui saya salah. Tetapi saya datang ke sini untuk memberitahu anda semua bahawa anda tidak mempunyai hati!"

Lelaki itu kemudian memberitahu pemberita bahawa beliau segera membayar kompaun yang dikenakan dengan kadar RM25 dan bukannya RM50.

Katanya, beliau cuba untuk bertemu dengan orang yang bertanggungjawab di pejabat MBPP di Komtar tetapi tidak berjaya.

"Jadi, saya datang ke Dewan Undangan Negeri tetapi pengawal tidak benarkan saya masuk.

"Saya tidak mahu apa-apa lagi. Saya hanya mahu mereka tahu bahawa mereka telah bertindak keterlaluan, "katanya.

kompaun, kesalahan trafik

Artikel Lain