Tajuddin Cabar Khalid Ulang Perkataan 'Sial" Di Luar Dewan - Semasa | mStar

Tajuddin Cabar Khalid Ulang Perkataan 'Sial" Di Luar Dewan

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (gambar) pada Isnin mencabar anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abd Samad supaya mengulangi perkataan 'sial' di luar Dewan Rakyat.

Tajuddin berkata jika Khalid berbuat demikian, beliau tidak akan teragak-agak untuk menyaman anggota dari Parti Amanah Negara itu.

Khalid mengeluarkan perkataan itu semasa sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat.

"Saya tak boleh terima dia cakap saya sial, malah Parlimen juga tidak membenarkan perkataan itu disebut dalam Dewan Rakyat," kata Tajuddin kepada pemberita di Lobi Parlimen.

Tajuddin menegaskan beliau akan mengarahkan peguam bagi tindakan selanjutnya untuk menentukan sama ada Khalid berada di pihak yang benar.

Tajuddin mengulas tindakan Khalid yang mengeluarkan perkataan itu ketika Tajuddin menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) berhubung inisiatif kerajaan bagi memartabatkan kualiti beras negara.

Terdahulu, Khalid mengeluarkan perkataan itu selepas Tajuddin secara berseloroh menyebut hanya Teresa Kok (DAP-Seputeh) wanita yang mempunyai nama dengan perkataan 'Kok' di Seputeh.

Bagaimanapun, gurauan tersebut menyebabkan Dewan Rakyat kecoh dengan beberapa anggota Parlimen pembangkang mengeluarkan kata-kata kesat termasuk Khalid yang berkata 'sial'.

Kekecohan itu bagaimanapun ditenangkan Timbalan Speaker Datuk Seri Ronald Kiandee dengan membuat penetapan bahawa perkataan 'Kok' adalah merujuk kepada nama Teresa dan bukan bermaksud perkataan lain.

Tajuddin berkata, "Teresa cuba kacau saya ketika saya nak menjawab soalan.

Dia seorang sahaja mempunyai nama 'Teresa Kok'. Tapi itu tak bermaksud bila saya cakap begitu boleh mengizinkan Shah Alam (Khalid) bangun dan cakap saya sial, sial, sial, itu tak mewajarkan dia bercakap perkataan sial," katanya.

Sementara itu, Khalid berkata beliau terpaksa bangun berbuat demikian bagi menegur tindakan yang dianggap tidak beradab seorang anggota Parlimen semasa di dalam dewan.

"Saya terpaksa menegur Pasir Salak kerana jelas dan nyata bahawa kenyataannya adalah suatu kenyataan biadap kerana dia tidak mahu menarik balik kenyataan itu," katanya yang menyahut cabaran Tajuddin untuk mengambil tindakan undang-undang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Tiga tahun penuh derita, pernah diburu ah long... Dr Azizan kongsi cerita pahit sebelum tubuhkan RichWorks – “Kalau berjaya sahaja tapi tak bantu orang untuk berjaya, saya tak puas”

PAKAR Pemasaran No. 1 Asia dan Mentor Keusahawanan, Dr Azizan Osman berkongsi kisah suka dukanya sebelum berada di tahapnya sekarang, sewaktu program NUH2020.

default image

Bandar unik, gaya hidup masa kini... Inilah keistimewaan Putrajaya

PUTRAJAYA bakal menjadi bandar seimbang yang bukan sahaja menumpukan aspek pentadbiran kerajaan, bahkan sektor swasta.