suria

Anak Lelaki Maria Chin Dakwa Ibu Dapat Layanan Teruk

Azumin (dua dari kiri) bersama ibu saudaranya, Cynthia di ibu pejabat polis Petaling Jaya.

PETALING JAYA: Anak sulung lelaki Maria Chin Abdullah membuat laporan polis berhubung dakwaan mengenai keadaan pengerusi Bersih 2.0 itu ditahan ketika ini.

Azumin Mohamad Yunus, 23, mendakwa ibunya ditahan di dalam kurungan di satu lokasi yang diketahui semasa mengalami tekanan darah tinggi dan osteoartritis.

"Dia perlu ambil ubat untuk memastikan keadaannya terkawal. Dia perlu menjalani pemeriksaan berjadual di Pusat Perubatan Universiti Malaysia pada Ahad untuk osteoarthritis.

"Dia tidak dapat mengadakan temu janji kerana ditahan," katanya dalam laporan polis.

Bercakap kepada pemberita di ibu pejabat polis Petaling Jaya pada Isnin, Azumin mendakwa kebimbangannya ialah Maria akan dibawa sebelum dapat ditemui anak-anaknya.

"Secara dasarnya, dia dalam kurungan. Lampu dipasang sepanjang masa. Dia tak boleh beritahu yang mana siang. Tidurnya terganggu sebab itu. Dia hanya terima dua helai baju dan tidur di atas lantai kayu," dakwanya.

"Ahli keluarganya sendiri tidak tahu di mana dia ditahan. Kami pun tidak tahu bila kami akan melihat dia atau apakah yang berlaku pada dia sekarang. Mungkin Ahad adalah yang terakhir kami dapat melihat dia, kami tak tahu. Itu yang paling kami risau," kata Azumin.

Turut hadir bersama Azumin ialah ibu saudaranya, Cynthia Chin, peguam N, Surendan, Melissa Sasidaran dan Eric Paulsen.

Beberapa ahli politik pembangkang dan penyokong Bersih turut sama bagi menunjukkan solidariti bersama Maria.

Maria ditahan pada Jumaat lalu menjelang perhimpunan Bersih 5.0 di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Artikel Berikut

Artikel Lain