suria

Kem Latihan Dan Lapangan Terbang Tentera Akan Dibina Di Marang

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri meluluskan permohonan tanah kerajaan pusat seluas 50.26 hektar untuk membina kem tentera dan lapangan terbang di Marang.

Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman berkata tanah ituut merupakan milik Kementerian Pertahanan dan daripada jumlah itu, 32.7 hektar dicadangkan untuk membina lapangan terbang manakala 17.56 hektar lagi bagi pembinaan kem latihan tentera.

"Kelulusan itu sudah lama dibuat, namun pembinaan tersebut tidak dapat dilaksanakan Kementerian Pertahanan dalam masa terdekat atas beberapa kekangan.

"Kerajaan negeri sedang dalam proses memohon kepada Kementerian Pertahanan untuk menggunakan sebahagian tanah tersebut bagi membina perumahan untuk golongan tentera dan bekas tentera bertujuan menjaga kebajikan mereka selepas bersara nanti," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan tambahan daripada Mohd Nor Hamzah (PAS-Bukit Payong) yang mahu tahu status projek itu dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Isnin.

Menjawab soalan lisan tambahan daripada Ariffin Deraman (PAS-Alor Limbat) mengenai rasional pembinaan kem tentera di Marang, Ahmad Razif berkata ia bertujuan memajukan lagi daerah itu kerana apa sahaja projek pembangunan oleh kerajaan pusat pasti memberi impak positif kepada sektor ekonomi setempat.

"Pemilihan kawasan tersebut juga, kerana ia terletak jauh daripada petempatan, tanah milik kerajaan dan juga tidak melibatkan sebarang pengambilan balik tanah milik rakyat.

"Namun disebabkan pembinaan tidak akan dimulakan dalam tempoh terdekat, kerajaan negeri sedang memohon untuk mendapatkan sebahagian tanah tersebut bagi tujuan pembinaan rumah.

"Dengan kerjasama Perumahan Rakyat 1Malaysia dan Syarikat Perumahan Negara Berhad, hasrat kerajaan memastikan kebajikan golongan tentera mendapatkan rumah yang selesa akan tercapai," katanya. 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain