suria

Harga Minyak Masak Botol Bersubsidi Diputuskan Tidak Lama Lagi

PETALING JAYA: Satu mekanisme bagi menentukan harga minyak masak botol bersubsidi akan diumumkan tidak lama lagi selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan selesai membuat kajian menyeluruh mengenainya.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kajian sedang dibuat untuk melihat sama ada pengguna bersedia menerima harga yang bakal ditetapkan bagi minyak masak botol seberat satu liter.

"Maka, saya akan buat pengumuman kepada orang ramai sebaik sahaja semua kajian dalam menentukan mekanisme terbaik untuk menetapkan harganya selesai dijalankan," kata beliau selepas acara larian amal Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA) 2016 anjuran bersama MRCA dan kementerian itu di Subang Jaya, dekat sini, Ahad.

Sebelum ini, Hamzah mengumumkan minyak masak botol satu liter akan diperkenalkan dalam masa terdekat untuk menambah jenis dan pilihan bagi minyak masak bersubsidi yang kini dijual dalam paket plastik 1kg.

Bagaimanapun, harga minyak masak botol 1kg akan lebih tinggi sedikit memandangkan kos pembungkusan bagi minyak masak dalam paket plastik tidak lebih daripada 10 sen, tetapi kos pembungkusan bagi minyak masak botol ialah lebih 40 sen seunit.

Sementara itu, mengulas tentang larian tersebut, Hamzah berkata ia merupakan acara pertama anjuran bersama kementerian berkenaan dan MRCA dan akan diadakan pada skala lebih besar tahun depan.

Acara yang menarik penyertaan lebih 2,200 pelari dari seluruh negara itu bertujuan mengumpul dana untuk Yayasan Pendidikan Penjenamaan MRCA yang ditubuhkan pada 2011.

Hasil kutipan akan didermakan kepada lapan rumah kebajikan iaitu Pertubuhan Kebajikan Kanak-kanak Yatim dan Miskin, Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Mata Air Kehidupan Selangor, Victory House, Persatuan Orang Kurang Upaya Bangsa Ria KL dan Selangor, Persatuan Kebajikan Kanak-kanak Terencat Akal Malaysia, Childrens Wish Society of Malaysia, Kelab Kiwanis Kluang Mandarin dan PDK Selayang.

Semua peserta yang berjaya menghabiskan larian menerima pingat 'R', yang menepati tema bagi acara pada tahun ini iaitu 'Run for the Needy'.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain