suria

Program 'My Best Buy Fama' Catat Jualan RM6.4 Juta

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Badarul Hisham Mohd (empat, kiri) melawat gerai pameran selepas merasmikan Karnival Mybest Buy di perkarangan pusat membeli belah Aeon Shah Alam, Sabtu. Turut hadir Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Negeri Selangor, Datuk Abdul Ghariff Ramin (kiri) dan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan FAMA, Mandor Omar (tiga, kiri). Foto Bernama

SHAH ALAM: Program 'My Best Buy' anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mendapat sambutan hebat daripada orang ramai dengan jumlah jualannya sehingga kini mencecah RM6.4 juta.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Badrul Hisham Mohd berkata, beliau optimis angka berkenaan meningkat kepada RM7 juta pada penghujung tahun ini.

"Jumlah jualan program ini merekodkan peningkatan sejak kali pertama ia dianjurkan pada 2014 dengan mencatat jualan RM3.5 juta dan pada 2015 sebanyak RM6.36 juta," katanya pada sidang berita selepas merasmikan program 'My Best Buy' di Aeon Mall Shah Alam di sini, Sabtu.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Fama, Mansor Omar dan Pengarah Fama Selangor, Datuk Abdul Ghariff Ramin.

Seramai 28 usahawan menyertai program enam hari itu, yang berakhir pada Ahad. Ia merupakan lokasi ke-80 program itu.

Program berkenaan dilaksanakan bagi membantu masyarakat menangani isu peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat terutamanya di kawasan bandar di mana pengguna dapat membeli barangan dengan harga 20 peratus lebih rendah dari harga pasaran.

Pada majlis itu, Badrul Hisham turut melancarkan perkhidmatan perniagaan dalam talian agrobazar.com peringkat Selangor.

Untuk rekod, seramai 2,066 usahawan yang menawarkan 4,523 produk telah berdaftar dengan perkhidmatan berkenaan di seluruh negara. - Bernama

Fama

Artikel Berikut

Artikel Lain