suria

Telefon Bimbit Bukan Punca HSA Terbakar

JOHOR BARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menafikan kebakaran di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini berpunca daripada telefon bimbit dicas, seperti yang didakwa dalam media sosial.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Johor, Mohd Rizal Buang berkata  punca sebenar kejadian belum dikenal pasti kerana siasatan kebakaran masih dilakukan.

Beliau berkata pasukannya masih menjalankan siasatan dan mengumpul bukti di lokasi kejadian untuk dibawa ke makmal ibu pejabat JBPM negeri selain merekod dan menemu bual saksi kejadian.

"Saya sendiri yang mengetuai operasi itu...saksi memberitahu kebakaran  berpunca dari bilik rawatan. Bilik rawatan cuma ada peti ais yang menempatkan ubat-ubatan...itu sahaja yang kita nampak di lokasi itu," katanya kepada pemberita semasa ditemui di HSA pada Khamis.

Mohd Rizal berkata pihaknya juga menyerahkan kembali kepada HSA untuk tindakan lanjut setelah pemantauan Aras 1, yang ditutup sementara akibat percikan api semalam, didapati tiada bahaya yang boleh menyebabkan kebakaran.

Namun, pasukan bomba sentiasa ditempatkan di HSA ketika operasi pembersihan dijalankan, katanya.

Dalam pada itu, Mohd Rizal menyarankan supaya semua bangunan terutamanya bangunan lama menjalani pemeriksaan tahap keselamatan serta menaik taraf sistem keselamatan.

"Bangunan lama memang kita nasihatkan (diperiksa) kerana boleh mendatangkan masalah. Jika bangunan lama dan dibina mengguna kayu sepenuhnya, itu memang agak risiko," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga telah menyarankan supaya bangunan lama dinaik taraf menggunakan bahan yang tidak mudah terbakar selain dipasang dengan sistem keselamatan kebakaran sama ada sistem pasif atau aktif.

HSA, Hospital Terbakar, Bomba

Artikel Sebelum

Blok Barat HSA Ditutup

Artikel Berikut

Artikel Lain