suria

Tiada Sambutan Deepavali Peringkat Negeri - Vidyananthan

JOHOR BAHRU: Sambutan Deepavali peringkat negeri Johor tidak akan diadakan bagi menghormati mangsa dan keluarga yang terbabit dalam kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada Selasa.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri R. Vidyananthan berkata kerajaan negeri serta masyarakat umumnya masih berdukacita dengan kejadian menyayat hati itu dan mahu sama-sama memberi penghormatan kepada mangsa dan keluarga yang kehilangan waris dalam kebakaran itu.

Beliau berkata kejadian itu, yang meragut enam nyawa pesakit kritikal di ICU, masih segar di minda masyarakat dan berharap orang ramai dapat bersama-sama memberi penghormatan.

"Kami mengambil keputusan untuk tidak mengadakan sambutan Deepavali peringkat negeri pada tahun ini berikutan peristiwa menyedihkan yang berlaku di HSA. Kita mahu menghormati mangsa dan perasaan keluarga mangsa," kata Vidyananthan ketika dihubungi Bernama di sini Khamis.

Pada Rabu, MIC mengumumkan pembatalan majlis rumah terbuka Deepavali anjuran parti itu Sabtu ini bagi menghormati mangsa dan waris mangsa berikutan insiden kebakaran di ICU, HSA itu. -  BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain