suria

SPAD Lantik Juru Audit Bebas Siasatan Kes Gangguan LRT

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan melantik juruaudit teknikal bebas dengan segera untuk melaksanakan penilaian terhadap aspek-aspek kebolehpercayaan, ketersediaan, penyelenggaraan, keselamatan dan keupayaan operasi Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya.

Menurut SPAD dalam kenyataan pada Khamis, langkah itu dijangka mengambil masa selama tiga bulan bagi membolehkan penelitian dibuat terhadap isu-isu sistem yang tidak diliputi dalam skop siasatan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

"Ini melibatkan proses-proses semakan semula dan peningkatan penyelenggaraan aset bagi mencapai tahap kebolehpercayaan perkhidmatan yang lebih tinggi," menurutnya.

SPAD memaklumkan pihaknya memandang serius gangguan perkhidmatan LRT yang berlaku dua kali pada minggu lepas dan telah memulakan siasatan terhadap aspek teknikal dan bukan teknikal.

Prasarana juga diarah menyerahkan laporan siasatan awal kepada suruhanjaya itu pada 21 September ini (Rabu).

Susulan insiden itu, SPAD juga menugaskan Prasarana melaksanakan beberapa langkah segera dengan meningkatkan ketersediaan bekalan kuasa elektrik dan pengurusan insiden susulan penilaian awal mengenai gangguan perkhidmatan LRT berkenaan.

Antara langkah itu adalah melaksanakan tindakan pemulihan segera dengan mengerahkan usaha dan sumber yang maksimum untuk menaik taraf 15 pencawang kuasa sepanjang laluan Kelana Jaya, yang dijangka siap antara tiga hingga enam bulan daripada tarikh pelaksanaan.

"Usaha-usaha penting ini akan meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik kepada laluan Kelana Jaya dengan membekalkan kuasa yang mencukupi untuk menyokong permintaan yang kian meningkat, peningkatan penumpang pada masa hadapan dan juga bagi memanjangkan jangka hayat perkhidmatan," menurut SPAD.

Menuju ke arah pengurusan risiko yang lebih menyeluruh, SPAD juga akan memastikan pengendali mengemukakan dan menguruskan pelan risiko, analisis trend dan pelan peningkatan berserta garis masa terperinci untuk mengenal pasti dan menangani permasalahan teknikal.

"Ini melibatkan pemantauan laporan berkala berpandukan kepada penunjuk prestasi utama bagi mengesan masalah daripada peringkat awal serta membolehkan tindakan pencegahan dapat dilakukan," menurut kenyataan itu.

Menurut SPAD, Prasarana juga akan menyemak semula dan menambah baik Tatacara Prosedur Standard bagi Pelan Keselamatan dan Pemindahan penumpang di bawah pemantauan suruhanjaya itu.

Sebagai langkah permulaan, SPAD telah mengarahkan Prasarana untuk menghentikan operasi tren sepanjang landasan yang mengalami gangguan ketika proses pemindahan penumpang sedang dijalankan.

Sambil mengakui rangkaian rel adalah tulang belakang kepada pengangkutan awam darat, SPAD memberi jaminan kepada orang ramai bahawa suruhanjaya itu akan berusaha meningkatkan kebolehpercayaan dan keselamatan sistem LRT untuk manfaat pengguna.

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beberapa langkah segera diambil untuk mengatasi gangguan perkhidmatan Transit LRT Laluan Kelana Jaya termasuk menaik taraf serta merta 15 pencawang tenaga elektrik sepanjang laluan berkenaan.

Pada 7 September, kerosakan pada sistem isyarat dan komunikasi melambatkan tren LRT antara stesen Ampang Park dan Dang Wangi semasa waktu sibuk sebelah pagi, menyebabkan ramai penumpang terkandas di beberapa stesen sebelum perkhidmatan pulih pada 1.15 tengah hari. 

Pada 9 September pula, perkhidmatan LRT bagi laluan Setiawangsa-KLCC terganggu semasa waktu puncak pada 9 pagi apabila sebuah tren dari Datuk Keramat menuju ke Jelatek tiba-tiba terhenti di atas trek di antara Stesen Datuk Keramat dan Damai menyebabkan penumpang terperangkap di dalam tren selama 20 minit.

Penumpang tren berkenaan kemudian terpaksa berjalan di atas trek menuju ke Stesen Damai dengan mengambil masa hampir 10 minit sebelum perkhidmatan pulih pada 11.45 pagi. - BERNAMA

SPAD, LRT

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain