suria

Waze: Malaysia Tempat Memandu Terbaik Di Asean

Jalan Bunga Raya di Melaka Tengah.

PETALING JAYA: Malaysia diiktiraf sebagai tempat memandu terbaik di Asean, menurut aplikasi pengemudian serta trafik masa sebenar, Waze.

Di peringkat global, Malaysia menduduki ranking ke-23 daripada 38 negara dan 235 bandar raya serta bandar yang dikaji menerusi Indeks Kepuasan Pemandu tahunan kedua yang menilai keseluruhan pengalaman pemandu.

Antara 235 bandar raya dan bandar itu, Melaka Tengah menduduki kedudukan ke-94, ranking tertinggi bandar dalam negara ini.

Selain Melaka Tengah, jalan raya di Kuala Terengganu juga merupakan di antara tempat yang paling digemari pemandu dan menduduki ranking ke-97, manakala Kuala Muda, Kedah (105) dan Kota Bharu, Kelantan (124).

Sementara itu, bandar raya Kuching berada di kedudukan ke-131, Kuantan (134), Kuala Lumpur (137), Kinta (138), Batu Pahat (139), Johor Baru (140), Kota Kinabalu (164) manakala Larut dan Matang (166).

Malaysia antara salah sebuah daripada empat negara Asean yang dipaparkan dalam indeks tersebut.

Singapura, Indonesia dan Filipina masing-masing menduduki ranking ke-32, 34 dan 37.

Sementara itu, Cebu di Filipina disenaraikan dalam tempat paling teruk untuk memandu di dunia.

Menurut Waze, indeks itu fokus terhadap lebih 20,000 pengguna aktif aplikasi tersebut secara bulanan untuk memastikan ketepatan data dan perbandingan pasaran yang adil.

Enam faktor yang diambil kira untuk indeks tersebut adalah kepadatan trafik, kualiti jalan raya dan infrastruktur, keselamatan jalan raya, ketersediaan perkhidmatan pemandu, sosio ekonomi dan tahap kepuasan hati pengguna Waze. 


Waze, Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain