suria

Dua Juta Jemaah Selesai Tunai Ibadah Haji

MEKAH: Seramai kira-kira dua juta umat Islam seluruh dunia kini selesai menunaikan ibadat haji selepas menamatkan ibadah melontar di tiga jamrat.

Pada Khamis bersamaan 13 Zulhijah mengikut kalendar Islam, kesemua jemaah selesai melakukan lontaran di Sugra, Wusta dan Kubra.

Namun ada kalangan jemaah lebih awal selesai melakukannya apabila memilih 'nafar awal' iaitu menamatkannya pada Rabu.

Sebahagiannya pula memilih untuk bermabit pada malam 13 Zulhijah iaitu apa yang dinamakan sebagai 'nafar thani' sebelum menamatkan lontaran di tiga jamrat berkenaan.

Kini semua mereka yang bergelar 'haji' dan 'hajah' itu telah kembali ke Makkah dari Mina bagi persiapan pulang ke tanah air.

Sebelum meninggalkan Tanah Suci Mekah, mereka perlu melakukan 'tawaf wada' di Kaabah iaitu tawaf selamat tinggal.

Apabila pulang ke tanah air sudah semestinya jemaah akan membawa seribu kenangan bersama, sepanjang berada lebih 40 hari di tanah suci.

Seramai 22,320 jemaah haji negara menunaikan ibadat haji musim ini dengan penerbangan pertama pada 4 Ogos lalu.

Sebanyak 47 penerbangan membawa mereka ke tanah suci sama ada terus ke Madinah atau Jeddah.

Sebelum menunaikan haji iaitu bermulanya wukuf di Arafah pada 9 Zulhijah, jemaah lebih awal melakukan ziarah dan umrah.

Kerajaan Arab Saudi wajar diberikan penghargaan tertinggi apabila berjaya mengawal pergerakan jemaah dunia dengan begitu lancar sekali.

Walaupun kelihatan tegas seperti menguatkuasakan sistem biometrik iaitu pelaksanaan 10 cap jari jemaah dan penguatkuasaan undang-undang lain seperti pemeriksaan di pintu masuk hotel namun sikap 'lemah lembut' mereka terhadap jemaah haji harus dipuji.

Penguatkuasaan undang-undang itu berikutan insiden kren tumbang dan rempuhan tahun lalu yang mengorbankan ramai nyawa jemaah haji termasuk jemaah negara.

Begitu juga kepada lebih 600 petugas Tabung Haji (TH), mereka juga merupakan faktor kejayaan pelaksanaan musim haji tahun ini.

Walaupun ada beberapa dakwaan dangkal terhadap mereka, namun tiada siapa yang dapat menafikan kesantunan petugas terhadap Dhuyufurrahman (tetamu Allah) atau jemaah haji.

Memang tepat pengiktirafan kerajaan Arab Saudi terhadap Malaysia melalui TH ini iaitu agensi terbaik di dunia dalam mengurus jemaah haji.

Sepanjang musim ini hanya 10 jemaah haji negara yang meninggal dunia termasuk seorang ketika di tanah air.

Kini jemaah haji negara sedang menghitung hari untuk pulang bertemu sanak saudara tercinta dengan penerbangan pertama KT02 adalah pada Sabtu ini dan akan tiba di tanah air pada Ahad iaitu 11 pagi. - BERNAMA

Haji

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain