suria

Doktor Gigi Sambilan Didakwa Sebabkan Kematian Menantu TPM

KUALA LUMPUR: Seorang doktor gigi separuh masa yang juga doktor perbidanan dan sakit puan (O and G) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyebabkan kematian menantu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semasa mendapatkan rawatan gigi Jun lalu.

Dr Ting Teck Chin, 36, yang memakai sut hitam, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zainal L. Salleh.

Tertuduh yang kelihatan tenang, didakwa menyebabkan kematian Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi, 44, dengan mengetahui bahawa perbuatannya itu mungkin menyebabkan kematian mangsa.

Dr Ting didakwa melakukan kesalahan itu di Pusat Pakar Pergigian Imperial, Lot 62  and  64, Jalan Telawi, Bangsar Baru, Brickfields, di sini, antara 6 petang dan 9.05 malam, 1 Jun lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh yang diwakili peguam Datuk K.Kumaraendran diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Okt untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Abazafree Mohd Abbas.

Syed Alman Zain, suami kepada anak sulung timbalan perdana menteri, Datuk Nurulhidayah, 37, dilaporkan tidak sedarkan diri ketika menjalani rawatan di pusat pakar pergigian itu dan dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya sebelum disahkan meninggal dunia.

Artikel Berikut

Artikel Lain