suria

19 Lelaki Warga India, Dua Lelaki Tempatan Didakwa Edar 266.46kg Dadah

JOHOR BARU: Sembilan belas lelaki warga India dan dua lelaki tempatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini Khamis, atas dakwaan mengedar 266.46 kilogram dadah disyaki ketamin, di Ulu Tiram, di sini, minggu lepas.

Kesemua mereka bersama-sama dituduh mengedar dadah berkenaan di dalam kilang di alamat JLM Plastic Recycling Trading, Sungai Tiram, di Ulu Tiram, kira-kira 4.10 pagi, 3 Ogos lepas.

Sembilan belas lelaki terbabit adalah Abdul Manaf Kamarudeen, 35, Gireeshlal Nadarajan Santhamma, 41, Nihas Aboul Rahuman, 40, Ajaya Kumar Chandran Pillai Jayalakshmi, 47, Sudheer Kamaludeen, 36, Vishnu Mohanan Pillai, 23, Saju Sathyan, 38, Palpandi Mookka Thevar, 34, Ajayan Pushpakaran, 26, dan Vishnu Raghu, 25.

Turut dituduh, Niyaskhan Abdul Manaf, 22, Ashraful Khalq Naizam, 31, Shafeek Shareef, 34, Suheer Azeez, 31, Manu Mohanan Pillai, 25, Jayesh Sasidharan,30, Murali Navakodi,47, Lam Abdul Vaheed, 30, dan Rashudeen Sayudeen, 47.

Dua lelaki tempatan itu pula adalah N.Ramakrishnan, 40 dan A.Herman Kumar Pillai, 27.

Kesemua 21 orang tertuduh memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Tamil, namun, tiada pengakuan direkodkan.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias menetapkan 13 September depan untuk sebutan semula kes berkenaan sementara menunggu laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fithril Hakim Ab Jalil manakala hanya dua rakyat tempatan terbabit diwakili peguam, V.Varunnath. - BERNAMA

dadah, warga India

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain