suria

Pasangan Kekasih Didakwa Bunuh Suri Rumah

TAIPING: Sepasang kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin atas tuduhan membunuh seorang suri rumah di Taman Kota Jaya, Simpang Taiping, bulan lalu.

Tertuduh, P. Murugan, 34 dan P. Kagatree, 30, memahami pertuduhan yang dibacakan, namun tiada pengakuan direkodkan daripadanya.

Kedua-dua tertuduh didakwa membunuh Ng Poh Tim, 49, di sebuah kediaman di Taman Kota Jaya, Simpang Taiping di sini, kira-kira 4 petang pada 27 Jun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Majistret Mohamed Ruhizat Abdullah tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh dan menetapkan 21 Sept depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Raihan Rithwan dan kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Kedua-kedua tertuduh ditahan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah sewa mereka di Sungai Petani, Kedah pada 9 malam, 11 Julai lalu.

Bunuh

Artikel Lain