suria

Letupan Bom Di Sebuah Bank Tidak Melibatkan Nyawa

KUANTAN: Ruang yang menempatkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mesin deposit wang (CDM) sebuah bank di Bandar Muadzam Shah dekat Rompin, rosak dalam kejadian letupan awal pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Muhammad Aidil Roneh Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 5.45 pagi daripada pihak syarikat keselamatan yang mengawal bank berkenaan.

"Siasatan awal mendapati kesan letupan di bahagian bilik yang terdapat menyimpan dua mesin pengeluaran wang (ATM), dua mesin deposit wang (CDM) dan satu mesin deposit cek (CQM) itu dipercayai telah meninggalkan kesan serpihan kaca kira-kira 60 meter dari lokasi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.

Bagaimanapun Muhammad Aidil berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian letupan berkenaan.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan lanjut pihak polis yang berada di lokasi berkenaan juga mendapati terdapat kesan cubaan untuk melarikan mesin ATM itu namun gagal.

Katanya pihak Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang kini sedang giat menjalankan siasatan terperinci di samping mendapatkan bantuan pasukan forensik dari Bukti Aman untuk tindakan lanjut.

"Polis juga sedang mendapatkan rakaman CCTV (kamera litar tertutup) daripada bank tersebut," katanya.

Sementara itu, Muhammad Aidil menegaskan kejadian berkenaan tidak melibatkan sebarang unsur berkaitan kegiatan kumpulan pengganas dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dengan mengaitkan kejadian itu dengan Daesh.

Muadzam, Bom

Artikel Lain