suria

Dua Lelaki Hadapi Empat Pertuduhan Berkaitan Militan Daesh

KLANG: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Isnin masing-masing atas dua pertuduhan berkaitan kumpulan militan Daesh.

Tertuduh, Mohmad Zaini Mohmad Isa, 31, dan Roshelmyzan Husain, 31, mengangguk faham selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Nor Asma Ahmad.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua lelaki itu yang tidak diwakili peguam.

Nor Asma menetapkan 7 September depan untuk sebutan bagi memindahkan kes mereka ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syed Farid Syed Ali.

Mohmad Zaimi didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas itu di Lot 539, No F/1, Telok Gadong Kecil, Jalan Yadi di sini, antara 25 Mac hingga 30 Jun lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130 J (1)(a) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu juga didakwa melindungi dalam penangkapan Junios Ondie @ Jahali yang diketahui telah melakukan perbuatan pengganas, di kawasan belukar lebuh raya Pulau Indah di sini, kira-kira 7.15 malam pada 29 Jun lepas.

Pertuduhan di bawah Seksyen 130 K (a) Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan boleh juga dikenakan denda atau penjara maksimum 20 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Roshelmyzan didakwa mencari sokongan untuk kumpulan pengganas itu melalui aplikasi telegram di alamat Lot 1616, Telok Kapas, Rantau Panjang di sini, antara 25 Mac hingga 29 Jun lepas dan dia didakwa mengikut Seksyen 130 J (1) (a) Kanun Keseksaan.

Lelaki itu juga didakwa memiliki item-item yang berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan dengan militan Daesh, di Bilik Mesyuarat Tingkat 1, Bangunan Sime Darby Plantation Sdn Bhd, Nuri Refinery, Lot 27, PT 234 Lebuh Sultan Mohamed 1, kawasan Perusahaan PKNS Fasa II, Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang,  kira-kira 2.10 petang pada 29 Jun lepas.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 130 JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item tersebut. - BERNAMA

Daesh, IS

Artikel Berikut

Artikel Lain