suria

Situasi Makin Buruk, Paip Air Kering

Penduduk Kampung Baru Danglau.

ALOR SETAR: Penduduk di Kampung Baru Danglau menyambut Aidilfitri dalam suasana 'kering' selepas bekalan air kepada lebih daripada 30 buah rumah di sini terganggu.

Malah masalah yang bermula sejak tujuh bulan lalu menjadi semakin buruk seminggu sebelum Hari Raya apabila bekalan air terputus, demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Mohd Ayat Daud, 73.

"Pada mulanya air mengalir dari paip kami selama dua hingga tiga jam sehari. Kami terpaksa bergantung kepada lori air Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada).

"Kami telah diberitahu oleh Sada bahawa lori akan datang pada hari kedua Hari Raya tetapi mereka tidak datang. Mereka hanya datang pada hari keempat dan kelima," katanya pada Ahad.

Katanya penduduk kampung bernasib baik apabila masing-masing menyimpan air ketika lori air membawa bekalan sebelum ini.

Seorang penduduk kampung, Noor Zulkhairi Noordin, 45, berkata dia memeriksa kemudahan rawatan air di Nami dan diberitahu oleh pekerja-pekerja di sana bahawa kemudahan itu beroperasi tanpa gangguan.

"Mungkin masalah air yang kita hadapi disebabkan oleh kedudukan kami terletak di atas tanah yang lebih tinggi. Atau mungkin ada paip pecah air berhampiran," katanya.

Ketua Komunikasi Korporat, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, Mohd Hafizi Zakaria berkata tidak timbul masalah untuk membekalkan air kepada pengguna domestik melalui Empangan Ahning.

"Empangan Ahning berada pada kapasiti 64.1 peratus. Ia dapat bertahan sehingga 178 hari tanpa sebarang hujan. Air dari Empangan Pedu dan Empangan Muda digunakan untuk tujuan pertanian," katanya.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah akan mengadakan mesyuarat di Wisma Darul Aman pada Selasa untuk menyelesaikan masalah air di negeri ini.

Setiausaha Akhbar beliau, Nahar Tajri berkata pihak berkuasa negeri menyedari masalah air yang menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat semasa musim perayaan ini.

Pada 6 Julai, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrul Hisham Hashim berkata krisis air di kawasan Kota Setar, Pokok Sena, Merbok dan Baling adalah kritikal dengan kira-kira 5,000 buah rumah terjejas.

Beliau berkata masalah itu disebabkan peningkatan dalam permintaan kerana ramai orang telah pulang ke kampung masing-masing untuk menyambut Hari Raya bersama keluarga.

Artikel Berikut

India Selatan Mengagumkan

Artikel Lain