suria

Rakyat Tolak Pembohongan Dr Mahathir - Najib

Najib Tun Razak.

PETALING JAYA: Kemenangan besar yang diperoleh Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar menunjukkan bahawa rakyat menolak Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Melahirkan rasa terima kasih kepada para pengundi kerana meletakkan kepercayaan mereka kepada BN, Perdana Menteri berkata, mereka menolak pembohongan Dr Mahathir.

Najib berkata, Dr Mahathir telah mengubah pilihan raya itu kepada satu referendum mengenai kepimpinannya, dengan berkempen untuk bekas musuh dalam pembangkang dan mencemarkan partinya sendiri dengan bahasa kasar dan mendakwa bercakap bagi pihak rakyat untuk kepentingan sendiri.

"Sebagai sebuah kerajaan separuh penggal yang menjadi sasaran kepada fitnah bermotifkan politik, kita amat rendah diri mengenai keputusan yang menang besar ini.

"Majoriti rasmi kita di Kuala Kangsar ialah 6,969 undi berbanding 1,082 undi pada pilihan raya umum 2013 dan 9,191 undi di Sungai Besar berbanding 399 pada 2013, " kata Najib dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Najib berkata, rakyat menunjukkan keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap BN berdasarkan majoriti besar dalam kedua-dua PRK dan kemenangan BN memperoleh 72 daripada 82 kerusi pada pilihan raya negeri Sarawak bulan lalu.

"Saya berterima kasih kepada semua jentera BN, yang diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"BN berjaya kerana kita bekerjasama sebagai satu pasukan. Kita menang, dan jika kita terus bekerja keras untuk rakyat dan terus bersatu, kita akan sentiasa menang.

"Selagi saya sebagai Perdana Menteri, kepentingan rakyat akan didahului. Kita akan menunaikan janji kita kepada mereka. Keutamaan saya akan terus menumpukan kebajikan ekonomi, kesejahteraa sosial dan keselamatan semua rakyat Malaysia," ujar Najib.

Artikel Lain