suria

JPJ Perkenal Sijil Pemilikan Kenderaan Ganti Kad Pendaftaran Kenderaan

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) bagi menggantikan Kad Pendaftaran Kenderaan (RC) yang akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa bermula Selasa.

Dalam kenyataan, JPJ berkata pengenalan VOC masih lagi merupakan suatu perakuan pendaftaran yang dikeluarkan di bawah peruntukan Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mengandungi butiran pemilik dan kenderaan.

Bagi fasa pertama (bermula hari ini), JPJ berkata VOC akan dikeluarkan kepada pemilik pendaftaran kenderaan baharu dan pemilik baharu bagi proses tukar hak milik kenderaan manakala fasa kedua (bermula 1 September ini), VOC akan dikeluarkan kepada pemilik yang membuat pembaharuan cukai jalan dan pemilik yang membuat pindaan/pembetulan maklumat kenderaan.

Bagi fasa ketiga (bermula 1 Januari 2017), VOC akan dikeluarkan kepada pemilik yang hadir ke JPJ secara sukarela bagi menggantikan RC, katanya.

"JPJ menyasarkan menjelang 1 Januari 2020, semua pemilik kenderaan berdaftar telah melaksanakan gantian RC Kenderaan kepada VOC.

"Dengan pelaksanaan VOC ini, sistem penyampaian perkhidmatan melalui transaksi dalam talian juga bakal lebih diperluaskan serta dilaksanakan dengan mudah dan pantas," katanya.

VOC merupakan salah satu transformasi jabatan itu.

Dalam usaha untuk memudahkan urusniaga dengan agensi itu, JPJ berkata VOC yang diperkenalkan ini tidak lagi digunakan sebagai dokumen atau instrumen bagi urusan seperti Pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (cukai jalan), Tukar Hak Milik, atau Pindaan Maklumat.

VOC tidak mengandungi cetakan rekod urusniaga seperti mana yang terdapat pada RC, manakala semakan data dilakukan terus dengan sistem pangkalan data JPJ, katanya.

JPJ

Artikel Lain