suria

PDRM Galakkan Warganya Sertai Koperasi Polis

Zulkifli Abdullah

KUALA TERENGGANU: Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menggalakkan pegawai dan anggota menyertai Koperasi Polis dan mengambil skim insurans berikutan pelbagai faedah dan manfaat yang disediakan.

Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Sri Zulkifli Abdullah berkata daripada 130,000 anggota dan pegawai PDRM, hanya 80,000 yang mendaftar menjadi anggota koperasi berkenaan.

"Kita menggalakkan mereka menyertai koperasi ini...sejak berada di Pusat Latihan lagi kita memberi penerangan dan kepentingan (tentang koperasi) ini kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis Perjumpaan bersama Pegawai Kanan, Pegawai Rendah dan Pegawai Awam di sini, Rabu.

Menurutnya pelaburan yang dibuat dalam koperasi itu sangat penting bagi masa depan mereka dan keluarga sekiranya terlibat dalam sesuatu insiden atau kehilangan nyawa.

Beliau menjelaskan keadaan tugasan anggota dan pegawai PDRM yang terdedah dengan pelbagai risiko, memerlukan mereka dilindungi insurans.

Sementara itu, Pengerusi Koperasi PDRM Datuk Sri Syed Ismail Syed Azizan berkata koperasi itu ditubuhkan bagi menjaga kebajikan anggota dengan hanya membayar RM30 sebulan.

Katanya koperasi itu juga menawarkan skim insurans berkelompok dan insurans perubatan.

"Dalam skim insurans berkelompok ini, hanya RM11 dikenakan bagi satu unit dan jika berlaku kematian dan kemalangan, bayaran pulangan sebanyak RM 33,000 akan diberikan," katanya.

Koperasi Polis, PDRM

Artikel Lain