suria

PRK Sungai Besar: BN Calon 'Underdog' - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid berbincang dengan Liow dan Mah semasa mesyuarat penyelarasan penganjuran program kerajaan persekutuan di kawasan Parlimen Sungai Besar.

PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Barisan Nasional (BN) turun sebagai 'underdog' atau calon bukan pilihan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar 18 Jun ini, oleh itu BN perlu  bekerja keras dan lebih bijaksana untuk menang.

Timbalan perdana menteri yang juga naib presiden Umno itu berkata pada pilihan raya umum lalu, penyandang kerusi Sungai Besar Allahyarham Datuk Noriah Kasnon mengekalkan kerusi BN itu dengan kemenangan tipis.

"Di PRK Sungai Besar, kita lebih underdog kerana kita memperoleh kemenangan hanya 399 undi. Selain itu, kerajaan negeri juga dikuasai orang lain.

"Kita sedar kita harus bekerja keras dan lebih bijaksana untuk menangani segala permasalahan bagi memastikan kemenangan di Sungai Besar," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan penganjuran program kerajaan persekutuan di kawasan Parlimen Sungai Besar.

Mesyuarat pada Rabu diadakan untuk memastikan tiada pertindihan dari segi pelaksanaan program dan aktiviti yang bakal diadakan memandangkan Selangor dikuasai pembangkang.

Hadir sama ialah Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Kiong dan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor dan Pengarah Pilihan raya Sungai Besar Datuk Noh Omar.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata beliau dan Noh bersama presiden parti komponen BN akan memberi tumpuan dengan mengambil beberapa tindakan bersifat kos efektif agar memberikan hasil yang lebih baik.

Ahmad Zahid berkata BN menyenarai pendek tujuh calon dan parti akan mencalonkan individu yang boleh menang dan disukai ramai untuk kerusi itu.

"Kami akan mengadakan perbincangan (tentukan calon) dengan pemimpin BN Selangor dan Sungai Besar sebelum keputusan diambil.

"Ramai yang mengharapkan wanita dipilih sebagai calon. Bagaimanapun kami ada pertimbangan yang lain juga. Calon yang boleh menang dan disenangi turut menjadi keutamaan kami," katanya.

Sementara itu, Liow berkata masyarakat Cina di kawasan Parlimen Sungai Besar mahukan kerajaan yang stabil dan kukuh.

"Mereka menerima baik dasar kerajaan kerana kerajaan amat responsif terhadap permintaan mereka. Kaum Cina tahu yang mereka perlu berada dalam kerajaan bukan selamanya dengan pembangkang.

"Mereka mahu ada suara dalam kerajaan dan kami berharap mereka boleh memberikan kekuatan kepada MCA untuk memainkan peranan dalam kerajaan dalam membantu menyuarakan keluhan mereka," katanya.

Terdapat 33 peratus pengundi Cina di kawasan Parlimen Sungai Besar daripada 42,655 pemilih berdaftar.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Anggota Parlimen Sungai Besar, Noriah, korban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas. -BERNAMA 

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain