suria

Dua Tahanan Lolos Ketika Dibawa Ke Mahkamah

KUCHING: Dua tahanan bertindak melepaskan diri ketika dibawa ke Mahkamah Majistret di sini oleh dua anggota polis dari Cawangan Pengawal dan Pengiring Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Supt Earest John berkata dua suspek terbabit merupakan antara 19 suspek yang dibawa ke mahkamah itu untuk memohon perintah tahanan reman.

Beliau berkata dua suspek tersebut bertindak melarikan diri melalui pintu utama kamar mahkamah apabila tercetus kekecohan kerana beberapa tahanan enggan digari malah ada yang menepis tangan anggota polis yang cuba menggari mereka.

"Kira-kira pukul 11.05 pagi semalam, berlaku kekecohan dan ketika itu secara tiba-tiba dua orang suspek berkenaan telah bertindak melarikan diri dengan keluar melalui pintu utama kamar mahkamah," katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek dipercayai tidak berpuas hati selepas Majistret meluluskan permohonan tahanan reman selama dua hari. Kesemua suspek sebelum itu ditahan pada 12.30 tengah hari semalam.

Bagaimanapun, katanya seorang daripada suspek berusia 23 tahun berjaya ditangkap semula pada pukul 2.23 petang semalam oleh anggota pasukan Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kuching di sebuah rumah di Kampung Tabuan Hilir di sini.

"Usaha masih diteruskan untuk mengesan seorang lagi tahanan berusia 39 tahun," katanya.

Beliau berkata polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di dalam mahkamah.

Artikel Lain