suria

Kontraktor Cedera Ditembak Di Petaling Jaya

PETALING JAYA: Seorang kontraktor cedera selepas ditembak dua individu tidak dikenali di hadapan sebuah tadika di Jalan Selangor di sini, Rabu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohd Zani Che Din berkata dalam kejadian pukul 11 pagi tadi, mangsa yang berusia 41 tahun, sedang berjalan untuk mengambil anaknya di tadika berkenaan apabila dihampiri dua lelaki yang kemudian melepaskan tembakan ke arahnya.

"Suspek yang menaiki motosikal dipercayai melepaskan dua das tembakan ke arah mangsa dan salah satu tembakan mengenainya.

"Akibat tembakan itu, mangsa cedera di paha kiri dan suspek kemudiannya melarikan diri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini.

Beliau berkata kontraktor itu kemudian bertindak menaiki kenderaannya untuk ke sebuah pusat perubatan di sini, bagi mendapatkan rawatan.

Mohd Zani berkata motif kejadian masih dalam siasatan dan mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil.

"Kami akan ambil keterangan mangsa dalam masa terdekat," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Artikel Lain