suria

Vida Tangguh Hasrat Jumpa Pemilik Rayani Air

PETALING JAYA: Pengasas produk kecantikan Qu Puteh Datuk Seri Dr Hasmiza Othman menegaskan jadual yang padat selain komitmen terhadap urusan yang lebih penting membuatkan beliau terpaksa menangguhkan hasrat bertemu pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran.

"Saya memang nak jumpa Ravi tapi jadual yang padat tidak mengizinkan untuk saya bertemu dengannya dalam masa terdekat. Saya perlu dahulukan perkara yang lebih penting," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ravi yang masih menanti jawapan daripada Dr Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Dr Vida berhubung hasratnya untuk membeli saham syarikat penerbangan patuh syariah pertama dalam negara ini.

Menurut Vida, pertemuan itu mungkin terpaksa ditangguhkan sehingga ke bulan depan kerana beliau akan berlepas ke luar negara pada minggu ini atas urusan perniagaan.

Justeru, beliau akan cuba mencari tarikh yang sesuai agar pertemuan antara kedua-dua pihak dapat diatur dengan segera.

"Saya akan maklumkan kepada beliau tarikh yang sesuai nanti. Saya minta beliau bersabar dan tunggu sebarang panggilan atau WhatsApp daripada saya," katanya.

Pada Isnin, Ravi tertanya-tanya mengenai sejauh mana minat Vida untuk berbincang dengan pihaknya mengenai peluang kerjasama itu.

“Tiada, dia (Vida) senyap saja,” katanya.

Sementara itu, isteri Ravi, Datuk Karthiyani Govindan selaku Pengarah Kewangan dan Sumber Manusia Rayani Air berkata, pintu rundingan mengenai saham syarikat penerbangan itu masih terbuka buat Vida.

“Kita langsung tidak berjumpa dengan dia (Vida). Jika dia benar-benar berminat, kita boleh berjumpa di pejabat saya,” tambah Karthiyani.

Vida dilaporkan mahu bertemu dengan Ravi pada minggu lalu susulan hasratnya untuk membeli saham Rayani Air.

Sehingga hari ini masih belum ada sebarang pertemuan diatur.


Datuk Vida, Rayani Air

Artikel Lain