suria

Transkrip Temuramah PM Sempena Ulang Tahun Ke-70 Umno

Datuk Seri Najib Tun Razak. Foto Bernama

PUTRAJAYA: Berikut adalah transkrip penuh temuramah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno bersempena sambutan Ulang Tahun Ke-70 Umno pada 11 Mei, di pejabatnya baru-baru ini. 

Temuramah dikendalikan oleh Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara, Prof Dr Azizul Halim Yahya.

Dalam temuramah itu, perdana menteri berkongsi tentang perjuangan dan survival Umno, cabaran yang beliau hadapi pada masa kini serta pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

SOALAN: Datuk Seri, kongsikan pengalaman dan kenangan sewaktu bersama Allahyaram Tun Abdul Razak dahulu, ayandanda Datuk Seri, dan apakah ciri-ciri yang diterapkan oleh Tun Abdul Razak?

NAJIB: Kenangan saya begitu banyak dalam waktu bersama-sama dengan ayahanda saya. Saya melihat Allahyarham sebagai seorang pemimpin negara yang sangat mementingkan khidmat beliau kepada negara dan rakyat. Setiap masa yang ada pada beliau, memang dia memikir soal rakyat dan negara. Dan tidaklah masa yang banyak terluang untuk aktiviti-aktiviti lain walaupun ada riadah dan ada juga bercuti tetapi Allahyarham memang tersohor sebagai yang begitu dedikasi dan komited pada tugas beliau sebagai seorang yang ada misi yang dipegang sebagai satu pegangan yang begitu dekat di hati beliau.

Oleh itu, kalau ditanya apa yang saya dapat pelajari daripada Allahyarham, saya boleh katakan satu komitmen tugas untuk rakyat dan negara dan parti mestilah diambil dengan begitu berat sekali. 

Yang kedua, sentiasa memikirkan sesuatu keputusan yang dibuat itu apakah kebaikan kepada rakyat dan negara. Jadi, itulah menjadi pegangan saya ... yang saya dapat mewarisi daripada pengajaran secara langsung dan secara tidak langsung yang telah dibawa oleh Allahyarham. 


SOALAN: Sebagai anak, mungkin ada pesanan semasa bersama ayahanda Datuk Seri dahulu? Ada antara pesanan yang Datuk Seri masih ingat, pesanan kepada Datuk Seri yang mungkin dipakai sehingga hari ini sebagai salah satu contoh untuk menerajui negara kita? 

NAJIB: Pesanan yang Allahyarham beri tumpuan ialah pada masa saya di bangku sekolah di mana pada Allahyarham, belajar dengan bersungguh-sungguh dan dengan tekun dan mencapai keputusan yang terbaik, kalau boleh, terbaik dalam kelas. Itu yang mengajar dan mendidik saya supaya kalau kita buat sesuatu kerja, kita mesti berusaha dengan sedaya-upaya untuk mencapai satu tahap pencapaian yang terbaik. Maknanya nilai kesungguhan dalam apa saja kerja yang kita lakukan.

Kedua apa yang saya tengok, secara tidak langsung komitmen Allahyarham begitu amat mendalam sekali dalam soal menjaga kebajikan dan keprihatinan kepada rakyat. Walau sibuk macam mana pun, kalau ada orang kampung datang, saya tengok orang kampung ini memang sebati dengan beliau. Maknanya, untung nasib mereka sentiasa, boleh dikatakan sebati dan dekat di hati Allahyarham. 

SOALAN: Sempena ulang tahun Umno ke-70 yang disambut pada 11 Mei ini, Umno bermula dengan satu azam iaitu menyatukan orang Melayu sehingga tercapai kemerdekaan. Adakah Datuk Seri melihat nilai perjuangan dan pengorbanan ahli Umno semasa ditubuhkan dahulu masih sama sehingga kepada hari ini?

NAJIB: Saya tidak nampak ada perbezaan, maknanya kalau Umno ditubuhkan sebagai satu parti yang dapat memayungi semua golongan dan memecahkan tembok-tembok di antara kumpulan-kumpulan tertentu dan persatuan-persatuan dan soal kenegerian, maknanya, kita utamakan bukan sahaja soal negeri. Tetapi soal negara dan kebangsaan dan sebagainya, merupakan satu prinsip yang perlu kita pegang dan dihayati sampailah pada hari ini.

Jadi, soal perpaduan dan penyatuan orang Melayu merupakan teras, maknanya itulah tonggak kekuatan negara kita. Selagi kita begitu bersatu, selama itulah orang Melayu mempunyai kekuatan yang lebih. 

SOALAN: Umno antara parti politik di dunia yang masih kekal berkuasa sejak kemerdekaan pada 1957, namun ada banyak parti politik di negara lain sejak kemerdekaan sudah tewas dalam pilihan raya. Apa agaknya resipi Umno untuk masih kekal berkuasa dan apakah langkah harus dilakukan untuk Umno terus relevan.

NAJIB: Alhamdulillah, Umno mungkin merupakan satu-satu parti yang masih berkuasa tanpa ada satu ketika terputus daripada memegang kekuasaan negara. Mungkin ini disebabkan dasar Umno itu sendiri yang mana kita merupakan parti yang mengamalkan dasar yang sederhana. Di samping itu, kita mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, serta kita telah menunjukkan kemampuan kita untuk membawa pembangunan, perubahan ataupun sekarang kita gunakan istilah transformasi negara kita. 

Dan setiap kali berdepan dengan apa jua krisis sama ada luaran atau dalaman, Umno telah tunjukkan kewibawaannya untuk menangani krisis itu dan meletakkan parti dan negara kita atas landasan yang lebih kukuh lagi. 


SOALAN: Ada pihak mengkritik Umno kerana menganggap bahawa Umno tidak lagi terbuka dan malah mengkritik kepimpinan Umno kerana dikatakan tidak boleh ditegur. Bahkan, ada bekas pemimpin-pemimpin dahulu yang sentiasa mengkritik kepimpinan yang ada hari ini. Malah, sampai mahukan campur tangan daripada pihak luar. Bagaimana Datuk Seri menghadapi atau berdepan atau mengatasi tekanan itu? 

NAJIB: Pertama, hakikatnya, Umno hari ini lebih terbuka dan lebih demokratik daripada masa-masa yang lalu. Bila saya mengambil alih tampuk kepimpinan Umno, salah satu daripada langkah awal yang saya lakukan ialah untuk mengubah Perlembagaan Umno, supaya Perlembagaan Umno menjadi lebih terbuka, lebih inklusif dan lebih demokratik. 

Ini dapat kita lihat dari segi pemilihan presiden parti umpamanya dan juga jawatan-jawatan tertinggi dalam parti. Di mana kalau dahulu, presiden parti umpamanya dipilih berdasarkan kepada sistem kuota dan kalau sesiapa hendak bertanding jawatan presiden Umno, mesti memperolehi 63 bahagian mencalonkan. 

Cuba bayangkan dalam keadaan sedemikian menggunakan perlembangaan sebelum ini. Tak mungkin ada sesiapa yang mampu mencabar presiden Umno. Jadi kalau saya hendak kekal sampai bila-bila dan selama saya rasanya saya patut turun, saya gunakan perlembagaan lama, sebab dalam perlembagaan lama, tiada siapa yang mungkin boleh mencabar presiden Umno.

Tetapi sebaliknya, saya ubah perlembagaan Umno di mana presiden parti dipilih oleh 160,000 perwakilan di peringkat akar umbi. Bukan lagi yang 2,600 lebih kurang yang datang ke Kuala Lumpur di Dewan PWTC yang memilih. Tetapi 160,000 di seluruh negara di tiap-tiap bahagian. 

Ini menunjukkan bahawa hasrat saya sebagai seorang pemimpin ialah untuk mengubah falsafah dan kaedah pemilihan dalam Umno supaya Umno dilihat lebih terbuka, lebih demokratik. Itulah saya amalkan dan saya adalah presiden Umno yang pertama dipilih mengikut sistem yang paling terbuka dan paling demokratik dalam sejarah Umno. Jadi, kalau sesiapa kata saya tidak demokratik, hakikat dan fakta sebenarnya adalah sebaliknya. 

Kedua, saya mementingkan bahawa kita mesti jaga kepentingan parti. Bukan tak boleh kritik, tetapi dalam parti, kita mesti ada saluran dan disiplin. Kalau parti tidak ada disiplin dan tidak hormati amalan-amalan yang tidak menjejaskan kepentingan parti, maka parti akan berdepan dengan keadaan yang menggugat kestabilan dalam parti. 

Jadi sebab itu, saya kata sesiapa ada perbezaan pendapat pun, bawa dalam mesyuarat, bawalah mengikut saluran betul, kita boleh bincang dan mencapai keputusan berdasarkan semangat musyawarah, konsensus dalam parti. Itulah cara kita membuat keputusan dalam parti. Bukan kehendak seorang. Walaupun seorang itu bekas pemimpin, dia tidak boleh tentukan dasar atau apa-apa keputusan dalam parti. Tetapi parti mesti membuat keputusan berdasarkan kepada perlembangaan parti.

SOALAN: Politik perkauman menjadi topik yang sering dibahas di sosial media atau laman cetak. Ada yang menyatakan bahawa Malaysia seharusnya tidak mengamalkan politik berciri perkauman. Adakah Umno bersetuju dengan pendapat sedemikian?

NAJIB: Kita merupakan parti yang mengamalkan dasar sederhana dan mementingkan semua kaum walaupun parti kita ini terdiri daripada orang Melayu dan Bumiputera. Tetapi prinsip kita, kita mesti berlaku adil berdasarkan pada prinsip dan semangat perlembagaan negara. Kita juga menghormati dasar Barisan Nasional (BN) di mana Umno merupakan teras kepada BN. Jadi kita tidak lari daripada amalan dan dasar yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin yang telah mengasaskan Umnodari dahulu lagi. 


SOALAN: Datuk Seri banyak memberi penekanan kepada pemerkasaan ekonomi Bumiputera. Adakah Datuk Seri pada hari ini berpuas hati dengan pencapaian dasar ini?

NAJIB: Saya merasakan banyak yang telah dicapai. Tanpa perjuangan Umno, tidak mungkin hari ini kita lihat kedudukan orang Melayu lebih baik dan lebih selesa dalam bidang ekonomi. Umpamanya, pembasmian kemiskinan boleh dikatakan hampir selesai agenda itu. Dasar kita mewujudkan kelas menengah yang terdiri daripada profesional, itu adalah hasil daripada perjuangan Umno. Wujudnya institusi-institusi seperti UiTM, Mara, Tekun dan pelbagai lagi, adalah merupakan hasrat Umno untuk memperjuangkan pemerkasaan ekonomi Bumiputera. 

Dan saya sendiri begitu komited di mana tiap-tiap bulan saya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera dan malah semalam (21 April) saya telah mengadakan mesyuarat dan kita umumkan pelbagai inisiatif baharu, misalnya dasar 'carve-out'. Kalau ada projek besar kita tentukan sekurang-kurangnya 40 peratus hingga 45 peratus nilai kontrak, vendor dan peluang perniagaan diberikan kepada syarikat-syarikat Bumiputera.  

Kita sentiasa berusaha untuk melakukan usaha-usaha itu kerana pada saya kelangsungan kuasa politik mesti bersandarkan kepada kuasa ekonomi. 

SOALAN: Sampai bila membantu Bumiputera itu?

NAJIB: Kita tidak ada garis penamat. Tetapi dari segi semangatnya, ia adalah apabila kita sampai ke satu keadaan di mana kekayaan negara telahpun kita bahagikan secara adil dan saksama. 

Barangkali pada ketika itu, orang Melayu sendiri begitu yakin, tak perlu lagi kepada apa-apa keistimewaan dari segi dasar. Pada masa itu, mungkin dasar yang kita amalkan boleh kita cairkan atau dikaji semula supaya lebih terbuka. Tetapi yang penting sekali kita hendak sampai ke peringkat kekayaan negara,  sebab orang Melayu dan Bumiputera, bilangannya adalah 60 peratus lebih. Tetapi yang tuntut cuma 30 peratus (ekuiti) sahaja. Bukan dituntut 60 peratus tapi 30 peratus saja. Maknanya orang Melayu sudah cukup bertimbang rasa dan adil dalam apa yang dituntut dalam perjuangannya.

SOALAN: Datuk Seri, Malaysia tidak terkecuali daripada kemelesetan ekonomi global, dan kejatuhan harga komoditi seperti minyak di mana ia turut memberi kesan kepada ekonomi kita. Bahkan imej negara juga diserang oleh media asing. Adakah Malaysia mampu menangani cabaran ini?

NAJIB: Ya kita mampu untuk membuat pengubahsuaian kepada dasar kita dan kepada bajet kita umpamanya. Sebab itulah pada bulan Januari lalu, saya telah bentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 apabila harga minyak jatuh dengan begitu ketara sekali daripada AS$110 setong kepada AS$30 lebih.  Maknanya kita perlu melakukan sesuatu dan kita telah buat dengan tindakan yang segera dan ini telah membuat pasaran dan rating agencies lebih yakin dengan kemampuan kita untuk menangani cabaran ekonomi yang berpunca daripada keadaan luaran, yang luar daripada kemampuan kita untuk mengawalnya.

Tetapi apa yang boleh kita lakukan ialah untuk melakukan pengubahsuaian, adaptasi atau adjustment kepada dasar-dasar dalaman untuk mengambil kira keadaan luaran yang berubah dengan begitu mendadak sekali. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara, Prof Dr Azizul Halim Yahya (duduk kanan) sebelum sesi temubual sempena ulang tahun Umno ke-70 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. 

SOALAN: Datuk Seri merupakan Presiden Umno yang ke-7 dan telah melalui pelbagai cabaran dalam Umno sehingga menjadi presiden. Kini, serangan itu semakin mencabar. Bagaimana Datuk Seri mendapat semangat untuk terus bertahan sehingga ke hari ini.

NAJIB: Saya melihat, pertama sokongan kepada saya dalam kalangan ahli-ahli parti termasuk di peringkat pimpinan bahagian masih utuh dan masih yakin dengan kepimpinan saya. Selagi saya dapat sokongan daripada parti dan ahli-ahli Parlimen, maka saya mampu untuk terus memimpin negara kita. 

Soal serangan ini, ia menjadi lebih sebab dengan adanya media sosial. Dulu tak ada  media sosial, tapi bila ada media sosial, apa-apa pun dia cepat jadi viral. Inilah menjadi cabaran baharu dalam persekitaran yang berubah. 

Saya merupakan presiden parti yang berdepan dengan persekitaran ini. Kalau dahulunya, tidak ada macam ini. Saya tak tahulah, kalau dulu-dulu ada macam ini mungkin presiden Umno dulu menghadapi tekanan yang lebih dahsyat.  Tetapi saya tabah kerana saya yakin bahawa apa yang saya buat adalah betul-betul untuk niat yang baik dan kebaikan parti, rakyat dan negara. 

SOALAN: Rakyat melihat Datuk Seri begitu tenang dalam berdepan, menghadapi segala cabaran seperti ini. Dari mana datang ketenangan itu? 

NAJIB: (Ketawa) Saya tidak boleh menggelabah sebagai pemimpin. Kalau kita sebagai pemimpin, kita mesti sedar setiap pemimpin itu akan diuji, setiap manusia akan diuji. Allah akan uji kita dengan pelbagai cara dan ujian, itu dah ditentukan Allah tidak akan melepaskan mana-mana pemimpin atau mana-mana individu (daripada) diuji. 

Malah, zaman Allahyarham Tun (Abdul) Razak (Hussein) juga banyak juga ujiannya, ujian (rusuhan) 13 Mei. Zaman (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) pun lagi banyak ujian, sampai parti UMNO diharamkan, krisis kewangan yang dahsyat, orang bankrap begitu ramai, dengan masalah (Datuk Seri) Anwar Ibrahim.  

Nak kata zaman saya isunya tidak begitu besar sebenarnya. Tetapi sebab media sosial dan juga ada pihak menggunakan akhbar luar yang menyebabkan tekanan itu agak lebih sikit. Isunya tidaklah macam krisis (kewangan) Asia dulu, parti Umno diharamkan ke, sebab fundamental kita masih kuat. Fundamental ekonomi masih kuat. Fundamental politik masih kuat. 

Cuma gambaran persepsi, orang putih kata 'Noise Level' itu kuat sikit kerana peranan dimainkan oleh media sosial dan akhbar asing. 

SOALAN: Bagaimana Datuk Seri melihat media sosial hari ini. Ada langkah-langkah tertentu mungkin, cara menangani media sosial atau biarkan begitu sahaja?

NAJIB: Kita dah terima bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang terbuka. Maknanya, kita sudah terima apa juga perkembangan dari segi teknologi, kita akan gunakan dan digunakan di Malaysia. Kerana kita hendak Malaysia menjadi sebuah negara yang dianggap sebagai moden, progresif. Jadi apa juga teknologi media sosial berdasarkan pada perkembangan internet itu, kita sudah terima di Malaysia, dan kita merupakan sebuah negara di mana maklumat itu terbuka. 

Jadi kita nak ubah itu tidak boleh. Nak undur ke belakang pun tak boleh. Kita cuma boleh ke depan sahaja dan kita mesti pertamanya melatih orang Umno sendiri untuk menjadi pengerak dan pengamal media sosial yang aktif di semua peringkat. Walaupun kita setakat dengan Facebook dan Twitter, kurang-kurangnya kita boleh buat komen di sana. 

Itu saya anggap sebagai yang saya katakan 'the new politics in the political environment'. Di mana Umno sekarang mesti berubah daripada kekuatan/kemahiran kita dalam politik lama kepada politik baharu dan persekitaran baharu. Itu sahaja. 

Maknanya, kalau kita hendak berjaya, sebagai parti yang mempunyai kelangsungan pengaruh dan kita nak relevan sepanjang zaman, maka zaman media sosial pun UMNO mesti berubah dan mempunyai kemampuan membuat adaptasi kepada environment yang baharu. 

SOALAN: Menjelang ulang tahun ke-70 Umno, apakah mesej yang ingin Datuk Seri sampaikan kepada semua ahli Umno?

NAJIB: Kita kena kembali kepada sejarah Umno ditubuhkan. Sebab-sebab Umno ditubuhkan. Kita mesti pelajari dari segi sejarah perjuangan dari dahulu sebab prinsip matlamat dan nilai itu penting. 

Jadi, walaupun persekitaran berubah, teknologi berubah, cabaran berubah, tetapi kita mesti pegang kuat kepada matlamat prinsip dan nilai perjuangan yang luhur. Itulah merupakan kekuatan kita. Berasaskan pada Islam dan budaya Melayu, adat resam, perlembagaan dan etos. Itu yang mesti terus menjadi pegangan kita sampai pada hari ini. 

Insya-Allah, kalau kita berpegang kepada prinsip-prinsip dan nilai tersebut, kita belajar daripada sejarah, kita cinta kepada parti, kita meletakkan parti atas segala-galanya, insya-Allah parti kita akan menyambut 70 tahun lagi dan mungkin lebih daripada itu. - Bernama

Artikel Lain