suria

Dr Sim Simpati Nasib Calon DAP Alami Keguguran

Dr Sim Kui Hian.

KUCHING: Nyawa lebih penting daripada politik, kata Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Dr Sim Kui Hian ketika diminta mengulas mengenai seteru politiknya, Christina Chiew yang mengalami keguguran.

Beliau turut bersimpati di atas nasib yang menimpa Chiew yang juga calon DAP di Batu Kawah dan berharap agar wanita itu segera pulih.

Dr Sim yang juga pakar kardiologi menegaskan keguguran boleh mengancam nyawa dan menasihati Chiew supaya berehat di hospital.

"Dia perlu dimasukkan ke hospital," kata Dr Sim merujuk kepada kempen berat yang terpaksa diharungi Chiew sepanjang tempoh 12 hari yang lalu.

Walaupun begitu, beliau menggesa pengundi supaya tidak terpengaruh untuk memberikan undi kesian kepada Chiew susulan peristiwa yang menimpa wanita tersebut.

"Saya menggesa pengundi supaya tidak dipengaruhi emosi. Pilih calon anda untuk tempoh lima tahun akan datang dengan sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas membuang undi di SMK Bandar Kuching No 1 pagi Sabtu.

Beliau tiba kira-kira pukul 8.30 pagi ditemani isterinya, Datin Enn Ong.

Kira-kira 45 minit kemudian, Dr Sim bertemu Chiew di pusat mengundi di Taman Desa Wira.

Kedua-duanya saling berjabat tangan di hadapan media dan Dr Sim mengucapkan selamat berjaya dan semoga segera pulih kepada lawannya itu.


Artikel Sebelum

Artikel Lain