suria

Kes Pukul: Pemilik Pusat Snuker Dicari

KUALA LUMPUR: Pemilik pusat snuker yang dikenali sebagai Chong Kai Weng @ Kelvin, 32, dikehendaki polis bagi membantu siasatan berhubung seorang lelaki yang maut dipukul di Jalan Intan Baiduri, Kepong Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP R. Munusamy berkata dalam kejadian kira-kirapukul 8.45 malam itu, abang mangsa menerima panggilan daripada isteri mangsa yang memaklumkan mangsa telah dipukul di hadapan pusat snuker tersebut oleh lima lelaki.

Katanya mangsa yang parah dibelasah kemudian dibawa menaiki kereta oleh suspek sebelum ditemui oleh orang awam di kawasan letak kenderaan di Taman Baiduri, Kepong kira-kira pukil 10 malam.

"Abang mangsa yang mendapat maklumat dari orang awam terus pergi ke lokasi kejadian sebelum membawa mangsa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan. 

"Mangsa yang cedera parah tidak sedarkan diri ketika tiba di hospital akibat pendarahan dalam otak dan kemudian dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh,"katanya dalam sidang media, di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, di sini, Selasa.  

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 7 malam keesokan hari akibat hentakan kuat di kepala.

Munusamy berkata siasatan mendapati kejadian berlaku susulan dua kes samun yang dilakukan mangsa ke atas pusat snuker tersebut pada April lalu. 

Katanya mangsa turut mempunyai rekod jenayah lampau kes dadah dan curi kenderaan. 

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul di talian 03-40482222 atau tampil di mana-mana balaiterdekat. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-Bernama

Pemilik snuker, kes pukul

Artikel Berikut

Artikel Lain