suria

Kevin Moris: Kereta Ditemui Di Hutan Melintang, Sengaja Dibakar Guna Petrol

Anggota forensik Polis DiRaja Malaysia (PDRM) memeriksa kereta yang dipercayai milik Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara, Kevin Anthony Morais yang ditemui terbakar dalam ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Samak pada 6 September lalu. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi diberitahu bahawakereta dipercayai milik Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais yang dijumpai terbakar di Hutan Melintang, Perak, dibakar dengan sengaja menggunakan petrol dan bukannya terbakar secara kemalangan. 

Ahli Kimia Jabatan Kimia Malaysia Cawangan Perak, Khairul Anuar Abdul Aziz, 47, berkata ini berdasarkan kesan petrol yang dikesan pada bahagian dalam dan luar kereta tersebut.

"Berdasarkan pemeriksaan dan analisis yang dilakukan, saya berpendapat bahawa kereta tersebut telah dibakar dengan sengaja menggunakan petrol sebagai bahan penggalak kebakaran.

"Sekiranya kereta tersebut terbakar secara kemalangan, kesan petrol tidak mungkin dijumpai pada bahagian kabin (dalam) kereta," katanya ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin pada perbicaraan hari kelapan kes pembunuhan Kevin Morais.

Beliau berkata kesan kehadiran petrol itu diperoleh pada sampel yang diambilnya sendiri dari tempat duduk penumpang sebelah kanan dan kiri, tempat letak kaki pemandu dan tempat letak kaki penumpang hadapan.

Khairul Anuar, yang berpengalaman selama 22 tahun sebagai ahli kimia, berkata kereta itu terbakar 100 peratus ketika pertama kali beliau melihatnya di Balai Polis Hutan Melintang, Perak pada 7 Sept 2015. 

"Pada pengamatan kali pertama, tidak dapat dipastikan jenis kereta itu tetapi selepas membuat pemeriksaan lanjut saya mendapati ia adalah sebuah kereta Proton Perdana," katanya.

Menjawab soalan Wan Shaharuddin sama ada petrol disimbah atau dituang ke atas kereta itu, Khairul Anuar berkata beliau tidak dapat memastikannya kerana kereta itu sudah terbakar keseluruhannya.

Mengakui bahawa nombor casis dan nombor enjin bagi setiap kenderaan adalah unik, saksi pendakwaan ke-13 itu memaklumkan terdapat satu lubang pada kawasan yang kebiasaan disetemkan nombor casis pada panel belakang ruangan enjin keretaitu.

"Lubang itu saya dapati akibat daripada pemotongan panel dan dibuangkan bahagian panel tersebut. Bentuk potongan itu lebih kurang bersaiz 15 sentimeter (cm) panjang dan 5cm lebar.

"Oleh itu, saya tidak dapat melakukan pemeriksaan ke atas nombor casis tersebut," katanya, selain turut memaklumkan terdapat kesan kikisan yang dalam pada nombor enjin kereta itu sehingga ia tidak dapat dilihat dengan jelas. 

Beliau bagaimanapun memaklumkan nombor enjin tersebut adalah dalam format dua barisan iaitu atas dan bawah.

"Pada barisan atas, saya dapati digit terakhir yang sebahagiannya boleh dilihat iaitu sama ada digit tiga atau lapan manakala pada barisan bawah saya dapati satu digit terakhir yang sebahagiannya boleh dilihat iaitu digit lima.

"Selepas proses elektrokimia, saya tidak menjumpai sebarang huruf atau digityang baharu di kawasan nombor enjin tersebut," katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Nizam Ahmad, 29, memaklumkan beliau pergi ke tempat kejadian di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Samak, Hutan Melintang pada 12.50 tengah hari 5 September 2015 selepas mendapat maklumat mengenai kereta terbakar itu.

Saksi pendakwaan ke-14 itu berkata beliau melihat sebuah kereta yangterbakar selepas melalui jalan masuk ke ladang itu, lebih kurang dua kilometerdari jalan besar Sabak Bernam-Hutan Melintang. 

Menjawab soalan peguam V. Rajehgopal semasa pemeriksaan balas, Mohd Nizam berkata laporan mengenai kereta terbakar itu dibuat melalui panggilan telefon oleh orang awam yang tinggal berdekatan tempat kejadian.

Enam lelaki - G.Gunasekaran, 48, R.Dinishwaran, 24, A.K. Thinesh Kumar, 23, M.Vishwanath, 26, S.Nimalan, 23, dan S.Ravi Chandaran, 45, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais antara 7 pagi dan 8 malam, 4 Sept, 2015, di antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No.1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.

Kol Dr R. Kunaseegaran, 53, yang merupakan tertuduh pertama, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin Morais di tempat, tarikh dan masa sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung Rabu. -Bernama

Datuk Anthony Kevin Morais

Artikel Lain