suria

Tukang Rumah Dipenjara Lima Tahun Beri Sokongan Kepada Pengganas

Muhammad Kasyfullah Kasim dijatuhkan hukuman lima tahun penjara selepas mengaku bersalah memberi sokongan kepada kumpulan pengganas. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas seorang tukang rumah selepas dia mengaku bersalah memberi sokongan kepada perbuatan pengganas di Syria.  

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samah memerintahkan Muhammad Kasyfullah Kasim, 38, menjalani  hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 27 November 2014.

"Kalau nak berjihad tidak perlu sampai ke Syria. Saya berharap mulai hari ini awak bertaubatlah, jangan buat lagi, kalau nak buat baik itu macam-macam, kalau nak berjihad di Malaysia pun boleh," katanya sambil menyifatkan kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius, jijik dan dikutuk mesyarakat umum.

Muhammad Kasyfullah mengaku bersalah terhadap pertuduhan  memberi sokongan kepada perbuatan pengganas yang melibatkan penggunaan senjata api dan perbuatan itu dilakukan dengan niat melanjutkan satu  perjuangan ideologi dan dianggap sebagai niat untuk menggugat orang awam di Syria.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan memasuki Syria melalui LapanganTerbang  Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang antara 28 Disember 2013 hingga 7 April 2014.

Pendakwaan mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau  penjara maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau niat digunakan untuk melakukan kesalahan itu.

Mengikut fakta kes pada 28 Dis 2013 hingga 7 April 2014 tertuduh bersama rakannya iaitu Mohamad Fauzi Misrak, Mohammad Na'im Abd Rashid dan Aqif Heusen Rahizat telah berlepas dari KLIA ke Istanbul, Turki, kemudiannya mereka menggunakan laluan darat untuk masuk ke Syria.

Semasa berada di Syira tertuduh telah memberi sokongan dan memainkan peranan serta bernaung di dalam kumpulan pengganas Daesh walau bagaimanapun dia tidak berbaiah kepada kumpulan itu.

Selain melakukan tugasan sebagai sentri bagi menjaga kawasan rumah penginapan  mujahidin, dia yang dibekalkan dengan senjata api jenis AK47 juga menjalani latihan  ketenteraan dan menyertai beberapa siri peperangan untuk menentang pemerintahan Rejim Bashar Al Assad serta pernah melepaskan tembakan.

Tertuduh juga telah memuat naik gambar-gambar semasa berada di Syria antara 28 Dis 2013 hingga 7 April 2014 di dalam akaun laman sosial Facebook miliknya.  

Sebelum berlepas ke Syria tertuduh telah menjual sebidang tanah bernilai RM10,000 pada 24 Dis 2013 yang digunakan untuk membiayai perjalannya ke Syria.

Terdahulu, Peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara yang minimum kerana ini adalah kesalahan pertama Muhammad Kasyfullah dan dia juga tidak mempunyai rekod jenayah.

"Anak guam saya masih muda dan belum berkahwin, dia telah insaf dan sedar  perbuatannya adalah salah setelah berada di Syria, harap mahkamah dapat memberi peluang  kepadanya untuk baiki kesilapan," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam memohon agar mahkamah memberikan hukuman yang berat dan setimpal kepada tertuduh agar dapat dijadikan pengajaran.

"Kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius kerana ia membabitkan soal keselamatan," katanya. -Bernama

Beri Sokongan, Pengganas, Daesh

Artikel Lain