suria

Dua Maut, Dua Lagi Cedera Parah Kereta Terbabas

Gambar hiasan.

ALOR SETAR: Dua maut manakala dua lagi cedera parah setelah kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum masuk ke dalam longkang berhampiran Masjid Kampung Bukit, Pokok Sena, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin berkata dalam kejadian pukul 4.30 pagi itu, pemandu kereta Ahmad Faiz Ahmad Nizam, 25, dan seorang wanita Devi a/p Som Voon (umur belum diketahui) yang duduk di bahagian belakang pemandu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

"Penumpang wanita terbabit tercampak keluar daripada kereta manakala pemandu tersepit di tempat duduk," katanya.

Menurut beliau, seorang lelaki Ai Run a/l Ai Sine, 23, yang duduk di bahagian penumpang hadapan dan seorang lelaki Melayu yang hanya dikenali sebagai Mohd Fauzi (umur belum diketahui) yang duduk di bahagian penumpang belakang bahagian kiri mengalami kecederaan parah.

"Kesemua mangsa yang menaiki Perodua Viva itu sedang dalam perjalanan dari arah Naka menghala ke Pokok Sena sebelum kejadian," katanya.

Mohd Rozi berkata mayat dan mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah Penguasa Bomba Nur Hafizah Mohammad Lukman berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.32 pagi dan tiba di tempat kejadian kira-kira 20 minit kemudian. - BERNAMA

Artikel Lain