suria

Kerajaan Johor Rakam Penghargaan Kepada Pekerja

Mohamed Khaled Nordin.

JOHOR BARU: Kerajaan negeri Johor hari ini merakamkan setinggi penghargaan kepada semua warga pekerja di negeri ini yang tekun berkhidmat demi membina Johor yang lebih gemilang.

Bersempena dengan sambutan Hari Pekerja pada Ahad, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata negara tidak akan dapat mencapai kejayaan dan kesejahteraan tanpa dedikasi, komitmen dan iltizam yang jitu daripada seluruh warga pekerjanya.

"Saban tahun, kita menyambut hari yang penuh bermakna ini sebagai menghargai dan mengiktiraf segala sumbangan para pekerja yang saban masa, terus membangunkan tanah air tercinta.

"Johor yang berkemajuan akan tetap mengalu-alukan pendiri dan pengukuh ekonomi dan kemakmuran negerinya. Andalah 'Pekerja Berkemahiran, Penggerak Ekonomi'," katanya menerusi kenyataan di sini.

Mohamed Khaled berkata dalam usaha membangunkan negeri ini, kerajaan Johor telah memperkenalkan gagasan 'Johor Berkemajuan' yang merupakan asas terbaik buat kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

Beliau berkata namun, tanpa sokongan dan komitmen warga pekerja yang mempunyai daya produktiviti, daya saing, keanjalan kemahiran dan pengetahuan yang tinggi, maka, gagasan tersebut tentunya sukar untuk direalisasikan.

"Sehubungan itu, bagi pihak kerajaan negeri, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua warga pekerja yang sentiasa tekun berkhidmat demi membina Johor yang lebih gemilang," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain