suria

PRN Sarawak Tak Ubah Sikap Rakyat Setempat

AGAK mengejutkan apabila kehangatan kempen yang berbaki seminggu sebelum tarikh pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 Sarawak pada 7 Mei ini bagaikan tidak dihiraukan sebahagian penduduk tempatan.

Malahan, ada penduduk yang mengakui tidak pernah menunaikan tanggungjawab memilih pemimpin pada pilihan raya negeri itu.

Situasi yang berbeza dengan suasana berkempen di Semenanjung dirasai ketika melakukan tinjauan ke Pasar Kubah Ria di Jalan Matang Jaya, Kuching, pagi Jumaat.

Rata-rata golongan peniaga di sini tidak begitu mengambil kisah mengenai bahang politik yang melanda negeri ini. 

Bagaimanapun mereka mengharapkan siapa jua yang mentadbir Sarawak selepas ini dapat memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi dan belia.

Namun menariknya, walaupun tidak berminat dengan politik, nama Tan Sri Adenan Satem ternyata mendapat perhatian tatkala diajukan soalan mengenai kepimpinan Ketua Menteri itu.

Bagi Dayang Nurhajijah Abang Baki, 46, dia mengharapkan kerajaan memberi lebih perhatian kepada golongan peniaga sepertinya.

Menyifatkan Adenan sebagai ‘terbaik di dunia’, dia berkata pembinaan kompleks pasar baharu di sini ternyata memberi kesan positif kepadanya yang berniaga kek lapis sejak empat tahun lalu.

“Sebelum ini saya berniaga di Tebingan Kuching, di sana sewanya mahal. Berbanding di sini kami hanya dikenakan sewa sebanyak RM90 sebulan.

“Namun kami berharap kerajaan melakukan sesuatu bagi menarik lebih ramai pelancong ke pasar baharu ini selepas pasar minggu Satok ditutup,” katanya.

Sementara itu peniaga sayur, Mackenzy Kimliang, 30, mengakui dia tidak begitu mengetahui mengenai perkembangan politik semasa.

Namun dia mengharapkan kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan golongan belia sepertinya.

“Saya harapkan kerajaan memperbanyakkan pusat kemahiran untuk belia di kawasan Satok kerana ramai golongan ini masih menganggur,” kata Mackenzy dari kaum Bidayuh itu.

Namun lain pula pandangan Atey Boon, 40, yang menjual umbut kelapa di pasar itu sejak empat tahun lalu.

Dia yang tidak pernah mengundi dalam pilihan raya tetap memuji Adenan yang baharu mengambil alih pentadbiran Sarawak sejak dua tahun lalu.

Tambahnya isteri Adenan, Puan Sri Jamilah Anu kerap datang ke pasar berkenaan membeli barangan dapur di gerainya.

Bagaimanapun cubaan untuk mendekati peniaga Cina di pasar itu gagal.

Mereka memilih untuk tidak bercakap di hadapan kamera.

Namun mereka lebih mesra tatkala bercerita mengenai barangan jualan berbanding politik.

Pasar Kubah Ria terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok yang menyaksikan saingan satu lawan satu antara penyandang, Datuk Abang Johari Tun Openg dari Barisan Nasional menentang calon PKR, Mohamad Salleh Shawakatali.





Artikel Lain