suria

Mahkamah Persekutuan Arah KPN Tahan Bapa Mualaf Ingkar Perintah Mahkamah

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini, Jumaat mengarahkan Ketua Polis Negara (KPN) menahan mualaf Muhammad Ridhuan Abdullah kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi supaya menyerahkan anak perempuan bongsunya kepada bekas isterinya.

Panel lima hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif membenarkan rayuan guru tadika M. Indira Gandhi untuk melaksanakan semula perintah mandamus dikeluarkan Mahkamah Tinggi Ipoh yang mengarahkan KPN melaksanakan waran komital terhadap Muhammad Ridhuan.

Beliau mengembalikan semula kes itu ke Mahkamah Tinggi Ipoh bagi Hakim Mahkamah Tinggi itu memantau pelaksanaan waran komital terhadap Muhammad Ridhuan.

Hakim Raus berkata, Muhammad Ridhuan sengaja mengingkari perintah mahkamah itu dan dia masih enggan menyerahkan Prasana Diksa yang berumur lapan tahun kepada Indira Gandhi.

Beliau berkata, Muhammad Ridhuan telah mempertahankan tindakannya itu semasa didapati bersalah mengingkari perintah penjagaan anak itu dan merayu ke Mahkamah Persekutuan, dan menurutnya apabila rayuannya ditolak dia menghilangkan diri bersama-sama Prasana Diksa.

Hakim Raus, bagaimanapun berkata Mahkamah Tinggi tidak sepatutnya mengeluarkan perintah mandamus untuk memaksa KPN mencari Muhammad Ridhuan dan mengambil anak itu dan menyerahkannya kepada ibu anak perempuan itu.

Turut bersidang bersama-sama Hakim Raus ialah tiga hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Azahar Mohamed, Datuk Zaharah Ibrahim dan Datuk Aziah Ali berikutan Hakim Tan Sri Abdull Hamid Embong telah bersara.

Rayuan itu didengar oleh panel itu pada Ogos tahun lepas dan mereka menangguhkan keputusan.

Pada 17 Disember, 2014, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh dan memutuskan KPN tidak patut diarah untuk mendapatkan Prasana Diksa, atau menahan bapanya.

Dalam penghakiman majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan itu, pengerusi panel Hakim Datuk Abdul Aziz Abd Rahim memutuskan KPN mempunyai budi bicara untuk tidak menguatkusakan perintah mandamus kerana ia bukan kepentingan awam. 

Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh pada 29 September 2009, memberikan hak penjagaan tiga anak pasangan itu - Tevin Darsiny, 19, Karan Dinish, 18 dan Prasana Diksa -- kepada Muhammad Ridhuan yang telah memeluk Islam dan Mahkamah Tinggi Ipoh pada 11 Mac, 2010, memberikan hak penjagaan anak kepada Indira Gandhi dengan bapa diberikan hak lawatan sekali seminggu.

Pada 30 Mei, 2014, Muhammad Ridhuan dikenakan tindakan menghina mahkamah oleh Mahkamah Tinggi Ipoh dan turut mengeluarkan waran tangkap terhadapnya selepas dia gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi untuk menyerahkan Prasana Diksa kepada ibunya. Indira Gandhi turut mendapat perintah daripada Mahkamah Tinggi yang mengarahkan polis mencari Muhammad Ridhuan. - Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain