suria

MCA Rayu Pengundi Cina Beri Mandat Kepada Adenan Pimpin Sarawak

Datuk Seri Liow Tiong Lai
SHAH ALAM: Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyeru pengundi Cina di Sarawak supaya memberi peluang kepada Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem memimpin negeri itu untuk tempoh lima tahun lagi.

Liow berkata Adenan berhak diberikan peluang dan pihaknya percaya ketua menteri itu mampu membawa perubahan yang baik kepada Sarawak.

"Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak adalah penting bagi kita dan disifatkan sebagai KPI (key performance indicator) kepada Barisan Nasional (BN).

"Menjelang PRN ke-11 (7 Mei ini) kita meminta pengundi Cina untuk beri peluang dan sokongan kepada Adenan untuk membentuk kerajaan negeri sekali gus memimpin Sarawak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Konvokesyen Akademi Laut Malaysia (ALAM) ke-114, di sini, Khamis.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Akademik ALAM, Datuk Halipah Esa.

Liow dalam pada itu turut meminta masyarakat Cina di Sarawak supaya mengundi calon BN dalam kalangan kaum Cina bagi membolehkan kerajaan negeri yang bersifat berbilang kaum dibentuk.

"Langkah ini perlu bagi membolehkan kita mendengar pendapat dan pandangan daripada pelbagai bangsa dan suku kaum," katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata pihaknya akan terus berkerjasama dengan ALAM bagi melahirkan lebih ramai pelaut Malaysia menjelang 2020.

Katanya, langkah itu perlu bagi memastikan industri perkapalan negara dikendalikan sepenuhnya oleh rakyat tempatan.

"Kita nak capai 90 peratus pelaut rakyat Malaysi yang berkhidmat dalam industri perkapalan dan sasaran ini sehingga 2020. Buat masa ini, negara kita mempunyai kira-kira 12,000 pelaut dan kita akan melatih lebih ramai lagi selepas ini," katanya.

Liow berkata pihaknya turut menggalakkan pelaut Malaysia berkhidmat dengan kapal luar negara bagi menimba pengalaman dan kemahiran sebelum berkhidmat di negara sendiri.

Terdahulu, seramai 341 penuntut ALAM menerima sijil dan diploma masing-masing termasuk dalam 'Certificate of Proficiency For Deck Rating dan 'Diploma In Marine Engineering' pada konvokesyen kali ini.

Artikel Lain