suria

Lima Individu Didakwa Perdagang 13 Wanita Warga Asing Untuk Eksploitasi Seks

KUALA LUMPUR: Lima individu termasuk dua wanita didakwa di tiga buah Mahkamah Sesyen di sini terhadap 13 pertuduhan memperdagangkan 13 wanita warganegara asing untuk eksploitasi seks, Februari lepas.

Dua wanita berkenaan iaitu Low Foo Hoe, 46, dan Wong Yook Lin, 47, bersama-sama Ng Wai Hong, 36, Lim Lean See, 52 dan Yeong Kim Loon, 44, masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin, Hakim Allaudeen Ismail dan Hakim Sohaini Alias.

Mereka menghadapi 13 pertuduhan setiap seorang.

Mengikut pertuduhan, mereka yang bekerja sendiri kecuali Yeong, sebagai tukang masak, didakwa memperdagangkan sembilan wanita warga Indonesia, Thailand dan Vietnam dengan maksud eksploitasi seks dan aktiviti yang menyalahi undang-undang di spa sebuah hotel di Batu 5, Jalan Klang Lama di sini pada 10.30 malam 20 Februari lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kesemua mereka turut didakwa memperdagangkan empat gadis warganegara Indonesia, Thailand dan Vietnam bawah umur (17 tahun) bagi tujuan sama di tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Mohd Nasir membenarkan Ng diikat jamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin manakala Hakim Allaudeen membenarkan Lim dan Low diikat jamin masing-masing RM7,000 dan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Hakim Sohaini pula membenarkan Yeong dan Wong masing-masing diikat jamin RM4,500 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah juga menetapkan tiga syarat tambahan terhadap kesemua tertuduh iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan sehingga kes selesai dan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam memohon kesemua kes didengar bersama di hadapan Hakim Allaudeen atas alasan kes itu melibatkan mangsa dan transaksi yang sama.

Peguam Chris Kooi Wei Kit, yang mewakili kesemua tertuduh, tidak membantah permohonan itu.

Hakim Allaudeen menetapkan 4 April untuk perbicaraan kes itu.-- Bernama




Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain