suria

Jenazah Pelajar Malaysia Dipindah Ke Amman Untuk Dihantar Pulang

Kenderaan yang dinaiki tiga pelajar Malaysia yang maut di Jordon.

KUALA LUMPUR: Tiga jenazah pelajar Malaysia di Jordan yang terkorban dalam kemalangan jalan raya Sabtu lepas, kini dipindahkan ke Hospital Basyeer di Amman, untuk urusan penghantaran pulang ke tanah air.

Menurut laman Facebook rasmi Education Malaysia Jordan, jenazah pelajar itu akan dihantar pulang sebaik selesai semua proses di negara berkenaan, menerusi penerbangan komersial.

Menurut Education Malaysia Jordan, Kerajaan Kelantan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Maiwp) bersetuju membiayai kos penghantaran pulang jenazah pelajar itu ke Malaysia.

Tiga pelajar Universiti Mu'tah, Jordan itu maut dalam kemalangan jalan raya di Ashrafiyeh, wilayah Mafraq pada Sabtu lepas, ketika dalam perjalanan untuk menghadiri satu program keagamaan.

Mereka yang terkorban - Fatin Iqmal Idziyani Che Aziz, Hana' Azhar dan Al Najiatun Nailah Mohd Safie, sebelum ini ditempatkan di Hospital Kerajaan Mafraq, yang terletak kira-kira 50km dari Amman.

Sementara itu, dua lagi pelajar Malaysia turut cedera dalam kemalangan itu - Fatin Nor Syahirah Ramli dan Izam Hasif yang sebelum ini menerima rawatan di Hospital Kerajaan Mafraq, dipindahkan ke Hospital Al Amir Hamzah di Amman untuk rawatan lanjut.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain