suria

Thaipusam Disambut Meriah Oleh Jutaan Penganut Hindu

Sambutan Thaipusam di Kuil Arul Subramaniar di kawasan batu kapur Gunung Cheruh, Ipoh. -fotoTHESTAR
KUALA LUMPUR: Sambutan Thaipusam yang diadakan bersempena memperingati kelahiran Dewa Murugan, pada Ahad disambut meriah dengan pelbagai acara keagamaan oleh penganut agama Hindu di seluruh negara.

Di Kuil Sri Subramaniyar Swamy, Batu Caves di sini jutaan penganut agama Hindu dari dalam dan luar negara berhimpun untuk bersembahyang dan membayar nazar.

Malah kuil itu sejak minggu lepas telah penuh sesak dengan penganut agama Hindu yang datang untuk bersembahyang serta melakukan pelbagai acara keagamaan.

Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam pagi ini merasmikan sambutan Thaipusam di perkarangan kuil itu yang dipenuhi dengan penganut Hindu yang kebanyakannya memakai pakaian berwarna kuning yang melambangkan kesucian.

Sambutan hari Thaipusam, yang diadakan dalam bulan "Thai", bulan kesepuluh dalam kalendar masyarakat India, turut dihadiri oleh pelancong tempatan dan asing, untuk merasai pengalaman sambutan itu yang dianggap unik dan terbesar berbanding beberapa negara lain.

Perarakan lebih 10 kavadi berwarna-warni antara yang menjadi tarikan utama  pengunjung di Batu Caves hari ini.

Di IPOH, lebih 20,000 penganut Hindu membanjiri Kuil Arul Subramaniar di kawasan batu kapur Gunung Cheruh berhampiran Medan Istana sejak petang semalam.

Pelbagai aktiviti keagamaan Hindu turut diadakan termasuk perarakan patung Dewa Murugan dari Kuil Sri Maha Mariamman dari Sungai Pari ke kuil tersebut.

Keadaan di sekitar kawasan itu penuh sesak dengan penganut Hindu membawa kavadi.

Laluan menuju ke kuil Arul Subramaniar ditutup sejak petang semalam sehingga tengah malam ini dengan kawalan anggota polis di sekitar lokasi sambutan.

Pengunjung, S. Ravichandran, 45, yang setiap kali Thaipusam akan berkunjung ke kuil itu berkata ramai penganut Hindu, bukan sahaja dari Perak malah dari negeri lain juga datang ke sini untuk menyambut hari keagamaan penganut Hindu itu.

Di GEORGE TOWN, lebih 200,000 penganut Hindu termasuk pelancong membanjiri kuil-kuil di sepanjang Jalan Kebun Bunga dan Jalan Air Terjun. 
 Pelbagai aktiviti keagamaan diadakan dengan meriah dan warna-warni di sekitar kawasan kuil-kuil berkenaan terutama Kuil Sri Arulmigu  Balathandayuthabani yang terletak di atas bukit Jalan Kebun Bunga dengan  mendaki 512 anak tangga.

Sambutan itu turut memukau pengunjung asing serta jurugambar bebas yang tidak melepaskan peluang merakam foto menarik kerana kawasan berkenaan bagaikan pesta.

Keadaan di sekitar kawasan itu juga penuh sesak dengan penganut Hindu sama ada yang membawa kavadi atau menjunjung periuk susu 'pal koodam' dan jumlah pengunjung dijangka bertambah sehingga lewat malam ini.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A.Thaiveegan turut berada di  perkarangan kuil untuk meninjau suasana sambutan dan beramah mesra dengan  penganut Hindu di situ. 

Katanya pihak polis menjangka lebih sejuta penganut agama Hindu dan pelancong akan membanjiri sekitar kawasan sambutan antaranya Jalan Kebun Bunga, Jalan Air Terjun, Taman Botani dan Jalan Gottlieb.

"Setakat ini keadaan trafik agak perlahan, tetapi masih dalam  kawalan. Sebanyak 1,500 pegawai dan anggota polis bertugas 24 jam sepanjang  sambutan Thaipusam berkenaan," katanya.

Di KUCHING, sambutan Thaipusam meriah dengan kira-kira 1,000 penganut Hindu berarak sejauh 3.1 kilometer bermula dari Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Rock dan melalui Jalan Tun Haji Openg, Jalan Crockshank, Lorong Park sebelum berakhir di Kuil Sri Srinivasagar Kaliamman di Jalan Ban Hock.

Dalam perarakan tersebut ada penganut turut membawa periuk susu. 
Orang ramai termasuk pelancong asing turut bersesak sejak awal pagi untuk menyaksikan perarakan membayar nazar penganut Hindu itu.

Di KLUANG, kira-kira 3,000 masyarakat pelbagai kaum sekitar Renggam berkumpul seawal 7 pagi tadi bagi sama-sama meraikan perayaan Thaipusam bersama rakan-rakan mereka beragama Hindu.

Bagi mereka yang beragama Hindu, mereka berkunjung ke Kuil Hindu Samajam Sri Murugan, Jalan Layang Layang, Rengam, dekat sini bagi upacara sembahyang dan  membayar nazar sebagai tanda kesyukuran.

Ia menjadi lebih bermakna dengan kehadiran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang berkenan mencemar duli bertemu masyarakat India di kuil itu.

Sultan Ibrahim, yang berangkat tiba kira-kira pukul 12.18 tengah hari turut, berkenan menghadiri majlis santapan tengah hari bersama-sama masyarakat India di situ bersempena sambutan Thaipusam.

Artikel Lain