suria

Pelajar Cedera Di Jordan Minta Ibu Bapa Datang

SEREMBAN: Ibu dan bapa kepada seorang mangsa kemalangan di Jordan yang cedera, Muhammad Izzam Hasif Anuwar, 20, akan berlepas ke Jordan dalam masa terdekat.

Abang sulungnya Muhammad Izzat Syahmi, 24, berkata kedua-dua orang tuanya akan ke sana untuk melawat Izzam selepas urusan dokumentasi mereka selesai.

"Semalam masa kami hubungi adik saya kira-kira 6.40 petang. Adik ada minta mak dan ayah untuk datang. Dia mungkin perlukan sokongan moral dan semangat.

"Mendengar suara dia melalui telefon bimbit, saya dapat rasa dia cemas dan ketakutan sebab dia yang pandu kereta berkenaan dan dia ada bagi tahu tiga lagi kawannya tengah koma," katanya ketika ditemui pemberita di sini, Ahad.

Muhammad Izzat berkata dia mengetahui mengenai kejadian itu setelah rakan adiknya memberitahu yang adiknya terlibat dalam kemalangan dan adiknya meminta untuk menghubunginya semula.

"Saya hubungi semula kawan adik saya melalui fb messenger dan dia telah berikan telefon bimbitnya kepada adik saya dan saya sempat bercakap dengan adik saya selama lima minit.

"Dia beritahu tangan kirinya patah dan kakinya sakit. Lepas itu dia bercakap dengan mak sekejap. Mak memang tak dapat kawal perasaannya," kata Muhammad Izzat.

Katanya ibu dan bapanya kini berada di Perlis atas urusan keluarga dan akan pulang petang ini.

Muhammad Izzam yang merupakan anak kedua daripada tujuh beradik merupakan pelajar tahun ketiga pengajian Usuluddin di Universiti Mu'tah.

Tiga lagi pelajar Malaysia universiti itu maut sementara dua lagi cedera dalam kemalangan jalan raya pagi semalam (waktu Jordan).

Menurut Facebook rasmi Education Malaysia Jordan, kesemua pelajar berkenaan  yang menaiki sebuah kereta dipercayai dalam perjalanan ke Mafraq untuk menghadiri sebuah program.

Turut berada dalam kereta berkenaan ialah warga Jordan.

Jordan

Artikel Lain