suria

Bantah TPPA: Seorang Lelaki Disyaki Anggota Kumpulan Anarki Ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berumur 20-an dipercayai anggota sebuah kumpulan anarki ditahan dalam satu perhimpunan yang diadakan bagi membantah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) di Padang Merbok, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah berkata tangkapan dilakukan di Jalan Tun Perak bagi mencegah kejadian yang tidak diingini, namun tidak mendedahkan waktu tangkapan tersebut.

"Lelaki itu ditahan kerana dipercayai merupakan seorang daripada anggota kumpulan anarki yang ditahan polis sebelum ini," katanya melalui pesanan Whatsapp kepada Bernama.

Pada Jumaat, polis menahan enam lelaki berusia 30 hingga 50 tahun kerana disyaki melakukan perbuatan khianat ke atas harta benda awam, termasuk menconteng lambang anarki menggunakan cat di beberapa kawasan sekitar ibu negara termasuk Jalan Petaling, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Melayu.

Kumpulan tersebut turut dipercayai merancang menyertai perhimpunan TPPA di Padang Merbok yang dianjurkan Positive Malaysian Treatment Access and Advocacy Group (MTAAG), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Kongres Rakyat dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Mengenai perhimpunan itu, Zainol berkata kehadiran peserta dianggarkan 5,000 hingga 7,000 orang dan perhimpunan telah berjalan dengan baik tanpa kejadian yang tidak diingini.

"Kekuatan pasukan keselamatan adalah pada tahap yang mencukupi," katanya.

Perhimpunan bermula kira-kira pukul 2 petang dengan peserta mula berkumpul di lokasi tumpuan seperti Masjid Negara, Masjid Jamek, Sogo dan Dataran Merdeka sebelum bergerak ke Padang Merbok.

Kehadiran peserta-peserta ini menyebabkan suasana membeli-belah di kawasan tersebut sempena cuti perayaan Thaipusam dan persiapan Tahun Baru Cina terjejas ekoran beberapa jalan terpaksa ditutup dan menimbulkan kesesakan lalu lintas.

Tinjauan mendapati terdapat unsur vandalisme seperti contengan di dinding bangunan sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman yang menyakitkan mata dan sedikit sebanyak menganggu pemandangan di kawasan tumpuan membeli-belah itu.


Ada juga peserta yang tidak menghormati Jalur Gemilang dengan menggunakannya sebagai alas tempat duduk selain ada peserta membawa kanak-kanak kecil sekaligus melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012.

Di Padang Merbok, beberapa pemimpin pembangkang seperti anggota Parlimen Batu Tian Chua, anggota Parlimen Subang R. Sivarasa, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali berucap di hadapan peserta dan melahirkan kebimbangan mengenai TPPA.

Antara kandungan ucapan ialah mereka mendakwa rakyat terutamanya di kawasan kampung dan mahasiswa telah mula menderita dengan bertindak mencatu makanan akibat kenaikan harga barang yang melampau ketika ini.

Ada juga yang mengusulkan penubuhan Suruhanjaya Diraja bagi memantau mengenai TPPA selain ada mendakwa dengan termetrainya perjanjian ini, syarikat asing akan masuk ke Malaysia dan ekonomi negara akan dikuasai sepenuhnya oleh Amerika Syarikat dan orang luar.

Peserta perhimpunan bersurai kira-kira pukul 5 petang dan meninggalkan Padang Merbok secara aman, lalu lintas di kawasan berdekatan juga kembali pulih dan lancar seperti biasa. 

Satu sidang Dewan Rakyat khas akan diadakan bagi membahaskan TPPA tersebut pada Selasa dan Rabu depan sebelum dibawa ke Dewan Negara bagi mendapat keputusan sama ada Malaysia akan menyertai TPPA atau tidak.

Malaysia adalah antara 12 lagi negara bersama Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Singapura, Mexico, New Zealand, Peru, Amerika Syarikat dan Vietnam memuktamadkan rundingan berkaitan TPPA pada 5 Oktober 2015.

Artikel Lain