suria

Pencemaran Bauksit: Kerajaan Selangor Kaji Air Mentah Pahang

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor sedang mengkaji tahap kualiti air yang dibeli daripada negeri Pahang berikutan dikhuatiri dicemari bauksit, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata langkah berkenaan dilaksanakan bagi memastikan kos merawat air mentah yang mungkin tercemar itu tidak akan membebankan rakyat negeri ini.

"Perjanjian pembelian air mentah dari Pahang yang dibuat pentadbiran negeri sebelum ini menjanjikan kualiti air yang baik dan selamat bagi rakyat di sini.

"Disebabkan itu kami mahu kaji semula kualiti bahan mentah tersebut dan jika ia mencapai tahap pencemaran berbahaya, ia pasti memerlukan kos rawatan yang besar dan tinggi," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Beliau ditemui selepas menghadiri upacara menanam 13,000 pokok oleh 850 sukarelawan bersempena pembukaan cawangan baharu pusat beli-belah Aeon di Seksyen 13, di sini.

Menurutnya, kajian selama dua bulan itu untuk menentukan tindakan selanjutnya sama ada pembayaran 10 sen bagi setiap meter padu air yang dibeli masih relevan dengan kualiti yang ditawarkan kerajaan Pahang.

Mohamed Azmin berkata jumlah bekalan air mentah yang dibeli setakat ini belum mencapai kadar maksimum dan ia disalurkan ke Loji Rawatan Air Langat 2 bagi proses rawatan.

Bagaimanapun katanya, jumlah bekalan air yang rendah itu juga sesuai dengan kadar pengoperasian loji berkenaan yang masih belum siap sepenuhnya sebelum menyalurkannya kepada rakyat.

"Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri memastikan kualiti air yang dibeli itu selamat untuk digunakan oleh rakyat di sini," katanya.

Tambahnya, kajian tersebut juga dibuat sebagai langkah untuk memastikan bekalan air terawat di Selangor sentiasa mencukupi bagi menghadapi fenomena El Nino yang dijangka berlarutan sehingga September depan.

Sejak tahun lepas, kerajaan Selangor meneruskan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PAMPS) dengan menerima air mentah sebanyak 500 juta liter sehari (JLH) daripada Sungai Semantan, Pahang ke Sungai Langat.

Mengulas mengenai peningkatan kes denggi di Selangor, Mohamed Azmin berkata pihaknya sedang melaksanakan langkah bersepadu dengan pelbagai pihak bagi membendung penularan penyakit tersebut.

Bauksit, Pahang, Selangor

Artikel Berikut

Artikel Lain