suria

Hashim Abdullah Pengerusi Baharu SPR

PETALING JAYA: Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dilantik sebagai pengerusi baharu badan itu berkuat kuasa Ahad ini.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata Mohd Hashim, 62, akan menggantikan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang tamat tempoh perkhidmatan setelah mencapai usia 66 tahun pada Sabtu ini, seperti termaktub dalam Fasal (3) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah telah memperkenankan pelantikan Mohd Hashim mengikut Fasal (1) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.

"Bagi pihak kerajaan, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas perkhidmatan Tan Sri Abdul Aziz sebagai Pengerusi SPR selama tujuh tahun dalam melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang," katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Mohd Hashim yang dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan pada 8 Okt 1954 memiliki Ijazah Sarjana Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau memulakan kerjaya dalam kerajaan pada 2 April 1980 sebagai Pegawai Tadbir, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dan pernah menjawat jawatan Ketua Setiausaha, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Beliau bersara wajib pada 31 Ogos, 2014 sebelum dilantik sebagai timbalan pengerusi SPR pada 5 September 2014.

Artikel Lain